Perwakilan Negeri Selangor, Mohamed Sukri Omar bercakap pada perbahasan Muktamar Tahunan PAS Pusat Kali Ke-72 di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (PUTIK), Kota Bharu, Kelantan. Foto AIZAT ZAINAL, 04 SEPTEMBER 2026.

PENGKALAN CHEPA – Pas mahu jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor diberikan kepada pemimpin parti itu dan dilantik segera bagi memperkukuh persiapan menghadapi pilihan raya akan datang.

Perwakilan Negeri Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata, pelantikan itu penting kerana PN tidak boleh lagi berlengah untuk menggerakkan jentera pilihan raya khususnya di Selangor.

Menurutnya, jawatan Pengerusi PN Selangor perlu disandang pemimpin Pas supaya gerak kerja parti di negeri itu dapat diselaraskan dengan lebih berkesan.

“Kita tidak boleh lagi lambat untuk bekerja bagi menghadapi pilihan raya.

“Kalau Pengerusi PN pun tidak beriringan dengan Menteri Besar, ini bukan masanya. Pengerusi PN mesti dilantik daripada Pas untuk mengemudi kemenangan di negeri Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Ucapan Dasar Presiden pada Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-72 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelatan (Putik) di sini, hari ini.

Mohamed Sukri berkata, Pas Selangor mempunyai ramai pemimpin yang layak untuk dipertimbangkan bagi mengisi jawatan berkenaan.

Katanya, antara nama yang dilihat berkelayakan ialah Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr Yunus Hairi yang mempunyai pengalaman politik dan kepimpinan di negeri berkenaan.

“Saya yakin kita mempunyai ramai calon Pengerusi PN Selangor yang berkelayakan dalam kalangan kepimpinan Pas Selangor.

“Dr Yunus Hairi adalah antara calon yang berkelayakan,” katanya yang merupakan Ketua Pemuda Pas Selangor.

Sehubungan itu, beliau berharap kepimpinan Pas dan khususnya Pengerusi PN dapat memastikan jawatan berkenaan dilantik sesegera mungkin daripada kalangan kepimpinan Pas Selangor.

Beliau berkata, langkah itu penting bagi memastikan PN Selangor berada dalam keadaan lebih bersedia untuk menghadapi pilihan raya dan seterusnya berusaha mencapai kemenangan di negeri tersebut. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here