PENGKALAN CHEPA – Gesaan pemimpin DAP supaya Peguam Negara meneliti semula 47 pertuduhan membabitkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi disifatkan sebagai satu bentuk “hipokrasi” kerana isu berkenaan tidak dibangkitkan ketika parti itu memerlukan sokongan UMNO untuk membentuk kerajaan.
Perwakilan Pas Kedah, Mardhiyyah Johari berkata, tindakan tersebut menunjukkan sikap tidak konsisten DAP dan Pakatan Harapan (PH) dalam memperjuangkan agenda reformasi serta keadilan.
“Bercakap tentang keadilan, media pada 3 September melaporkan pemimpin DAP menggesa Peguam Negara meneliti semula 47 pertuduhan Datuk Seri Zahid Hamidi.
“Masa mereka hendak membentuk kerajaan dengan sokongan UMNO, perkara ini tidak berbangkit. Kini mereka kalut. Ini bukan reformasi tetapi hipokrasi,” katanya.
Beliau yang juga ADUN Pengkalan Kundor berkata demikian ketika membahaskan Ucapan Dasar Presiden pada Muktamar Tahunan Pas Ke-72 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik), di sini.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer menggesa Peguam Negara meneliti semula 47 pertuduhan berkaitan rasuah membabitkan dana Yayasan Akalbudi yang dihadapi Ahmad Zahid.
Turut senada ialah Pemuda DAP yang menggesa tindakan sama dilakukan dengan alasan agenda antirasuah kerajaan tidak seharusnya mengecualikan mana-mana ahli politik dan piawaian yang sama perlu dikenakan secara menyeluruh.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri diberikan pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) pada 2023 bagi 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram berkaitan Yayasan Akalbudi.
Pihak pendakwaan sebelum ini memaklumkan, DNAA berkenaan diberikan bagi membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan lanjut.
Bagaimanapun, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) pada Januari lalu. – MalaysiaGazette
















