PENGKALAN CHEPA – Pas Terengganu menawarkan calon Perdana Menteri daripada negeri itu sekiranya mendapat persetujuan pimpinan pusat.
Perwakilan Pas Terengganu, Wan Mat Sulaiman berkata, pengalaman mentadbir hampir dua penggal membuktikan kemampuan parti berkenaan mengurus negara.
Menurutnya, pencapaian kerajaan negeri sejak mengambil alih pentadbiran pada 2018 membuktikan Pas bukan sekadar bergantung kepada politik identiti, sebaliknya mempunyai rekod dalam aspek tadbir urus, ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
“Antara pencapaian yang boleh dijadikan ukuran ialah penilaian Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS) yang menurut beliau meletakkan Terengganu sebagai negeri terbaik di Malaysia dari segi ketelusan pengurusan bajet.
“Ini bermaksud kita mempunyai aset yang begitu penting, yang mampu untuk mengurus kewangan negara walaupun dalam keadaan terbatas.
“Oleh yang demikian itu, Pas Terengganu Insyaallah, kalau pusat mahu, ingin menawarkan calon Perdana Menteri daripada Negeri Terengganu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Ucapan Dasar Presiden pada Muktamar Tahunan Pas Ke-72 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik), di sini, hari ini.
Wan Mat berkata, Terengganu turut mencatat pelaburan sebanyak RM7.58 bilion pada 2025, iaitu jumlah tertinggi pernah direkodkan negeri berkenaan.
Katanya, dalam tempoh tiga tahun pula, jumlah pelaburan yang direkodkan mencecah RM11.12 bilion dan menyediakan sebanyak 5,127 peluang pekerjaan.
Tambah beliau, pencapaian berkenaan lebih bermakna kerana Terengganu berdepan kekangan kewangan serta isu royalti petroleum yang didakwa dinafikan oleh kerajaan Persekutuan.
“Begitu jugalah dari sudut ekonomi, dalam keadaan yang terbatas juga, kita melihat alhamdulillah dengan kerja keras Kerajaan Negeri Terengganu, barisan Exco yang dipimpin oleh Menteri Besar, Ahmad Samsuri Mokhtar, Negeri Terengganu mampu mencatat contoh dalam pelaburan pada tahun 2025 sahaja sebanyak RM7.58 bilion yang merupakan pelaburan tertinggi yang dicatat oleh Negeri Terengganu,” ujarnya.
Dalam pada itu, Wan Mat berkata, Terengganu turut mendapat pengiktirafan sebagai negeri paling bahagia pada 2024.
Katanya, pengiktirafan itu mencerminkan kejayaan kerajaan negeri mencapai matlamat menjadikan Terengganu sebuah negeri yang “maju, berkat dan sejahtera”.
“Ini bukti, ini keyakinan kita kepada rakyat yang kita nak beritahu bahawa Pas sudah mempunyai bukti, mempunyai ‘proof’ bahawa kita mampu mentadbir negara ini dengan baik,” katanya.
Wan Mat berkata, pengalaman Pas mentadbir Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis, selain kerangka kerjasama SG4, boleh dijadikan asas untuk rakyat menilai kemampuan parti itu sekiranya diberi peluang menerajui pentadbiran di peringkat Persekutuan.
Jelasnya, tawaran calon Perdana Menteri dari Terengganu itu dibuat berdasarkan keyakinan bahawa pengalaman mengurus negeri dengan sumber terhad mampu menjadi bukti keupayaan PAS membawa pendekatan penyelesaian Islam dalam sektor politik, ekonomi, sosial dan hubungan antarabangsa. – MalaysiaGazette
















