KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini menolak cabaran terhadap penggantungan persidangan Parlimen ketika tempoh darurat pada 2021.
Hakim Datuk Aliza Sulaiman memutuskan cabaran terhadap beberapa peruntukan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 tidak boleh diteruskan berikutan sekatan di bawah Perkara 150(8) Perlembagaan Persekutuan.
Cabaran berkenaan antara lain membabitkan Seksyen 11, 14 dan 15 ordinan tersebut yang berkaitan kuasa eksekutif dan perundangan, persidangan Parlimen serta persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Dalam penghakimannya, Aliza berkata Perkara 150(8) mengehadkan bidang kuasa mahkamah untuk mendengar persoalan berkaitan kesahan sesuatu ordinan yang dibuat ketika darurat.
Menurut beliau, sekatan itu bukan hanya terpakai terhadap cabaran terhadap keseluruhan ordinan, malah merangkumi cabaran terhadap peruntukan tertentu yang terkandung di dalamnya.
Beliau berkata, jika mahkamah membenarkan cabaran terhadap peruntukan tertentu, ia secara tidak langsung membuka ruang untuk kesahan Ordinan Darurat dicabar secara berperingkat.
Mahkamah turut menolak hujahan cabaran berkenaan sudah menjadi akademik selepas tempoh darurat berakhir.
Aliza menjelaskan, persoalan berkaitan perlembagaan tidak semestinya menjadi akademik hanya kerana tempoh sesuatu langkah atau peruntukan yang dicabar telah berakhir.
Bagaimanapun, beliau mendapati sekatan di bawah Perkara 150(8) tetap terpakai dalam kes berkenaan dan mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk memberikan deklarasi seperti yang dipohon pemohon.
Sehubungan itu, Mahkamah Tinggi menolak dua permohonan semakan kehakiman serta dua saman pemula berkaitan perkara berkenaan.
Tiada perintah mengenai kos dibuat oleh mahkamah.
Permohonan semakan kehakiman itu difailkan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi, Abdul Aziz Bari.
Mereka mencabar nasihat Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada Yang di-Pertuan Agong yang membawa kepada pewartaan peruntukan berkaitan penggantungan persidangan Parlimen di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.
Cabaran itu turut mempersoalkan tindakan menggantung persidangan Parlimen dan beberapa aspek lain berkaitan pelaksanaan ordinan berkenaan.
Mahkamah Persekutuan pada 24 Julai 2024 sebelum ini membenarkan pemohon meneruskan prosiding semakan kehakiman sebelum perkara itu dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk diputuskan berdasarkan merit.
Dalam perkembangan berkaitan, Majlis Peguam Malaysia dan Bersih 2.0 bersama beberapa pihak lain turut memfailkan saman pemula secara berasingan bagi mencabar aspek tertentu berkaitan pengisytiharan darurat dan ordinan tersebut. -MalaysiaGazette
















