Laporan media berhubung kejadian.

GEORGE TOWN – Polis menahan 10 lagi lelaki tempatan susulan siasatan kes merusuh menggunakan senjata membabitkan dua kumpulan Geng 04 di hadapan SJK(C) Kong Min Cawangan Kedua, Ayer Itam di sini, pada 29 Ogos lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Keng berkata, kesemua suspek ditahan menerusi beberapa siri serbuan di negeri ini dan Selangor bermula 30 Ogos hingga hari ini.

“Kesemua mereka yang ditahan berusia antara 19 hingga 56 tahun.

“Perkembangan ini menjadikan jumlah keseluruhan tangkapan seramai 23 orang setakat ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, berdasarkan perkembangan siasatan, polis membuka dua kertas siasatan berhubung kejadian itu.

“Siasatan awal dibuka mengikut Seksyen 148, 326 dan 120B Kanun Keseksaan, manakala satu lagi kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 307, 148 dan 120B Kanun Keseksaan.

“Kedua-dua kertas siasatan akan dilengkapkan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya,” katanya.

Dalam pada itu, tegas Dennis Lim, pihak polis akan terus mempergiat risikan, rondaan, pemantauan dan operasi bersasar bagi membendung kegiatan pergaduhan berkumpulan serta jenayah kekerasan.

“Polis turut tidak menolak kemungkinan mempertimbangkan pemakaian Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) sekiranya hasil siasatan mendapati kesalahan berkenaan memenuhi syarat pemakaiannya,” katanya.

Media pada 1 September lalu melaporkan Dennis Lim memaklumkan kejadian itu dipercayai berpunca daripada salah faham berkaitan kutipan hutang antara dua kumpulan Geng 04 yang bergerak secara berasingan dan mempunyai kepentingan masing-masing walaupun menggunakan nama sama.

Katanya, dua lelaki yang ditetak dalam insiden berasingan itu bukan anggota Geng 04, sebaliknya menjadi mangsa salah identiti selepas suspek menyangka mereka daripada kumpulan berkenaan.

Dalam kejadian pada kira-kira jam 2.45 pagi itu, tiga lelaki tempatan berusia antara 17 hingga 25 tahun terbabit, dengan dua mangsa diserang menggunakan senjata manakala seorang lagi dilanggar sebuah kereta.

Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada pertikaian berkaitan hutang selepas beberapa individu bertemu di sebuah medan selera di Paya Terubong. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here