Donald Trump. Photo by AFP

 

WASHINGTON – Presiden Donald Trump menyifatkan perang dengan Iran sebagai “perkara kecil” bagi Amerika Syarikat (AS), dalam usaha terbaharu pentadbirannya untuk meremehkan konflik itu menjelang pilihan raya pertengahan penggal yang penting.

Kenyataan Trump itu dibuat sehari selepas Naib Presiden JD Vance berkata, “Saya tidak akan menyebutnya sebagai perang”, meskipun pertempuran antara Iran dan AS di Selat Hormuz semakin meningkat.

“Ramai orang tidak menyebutnya sebagai perang. Saya menyebutnya konflik ketenteraan kerana ia perkara kecil bagi kita,” kata Trump kepada pemberita di Pejabat Oval ketika ditanya mengenai kenyataan Vance.

Tambahnya lagi: “Ia bukan perkara besar. Kita sudah lakukan (di) Venezuela, dan kita lakukan ini,” tambah Trump yang dikelilingi penternak lembu yang dijemput bagi menyaksikan pemeteraian dua perintah eksekutif berkaitan pemprosesan daging lembu.

Perang yang sudah memasuki bulan keenam itu telah mengorbankan 18 anggota tentera AS dan ribuan rakyat Iran, kini menemui jalan buntu apabila Tehran didakwa mengganggu trafik perkapalan di laluan air strategik berkenaan.

Bagaimanapun, dengan kenaikan harga bahan api berisiko menyebabkan Parti Republikan pimpinan Trump kehilangan kawalan terhadap Kongres dalam pilihan raya pertengahan penggal November ini, pentadbirannya berusaha mengecilkan skala konflik berkenaan.

Trump berkata, AS melaksanakan “serangan secara berselang-seli”, namun menegaskan bahawa “kita tidak berperang sekarang”.

Beliau turut mengulangi dakwaannya bahawa AS pada hakikatnya menguasai Selat Hormuz dan telah memusnahkan kekuatan ketenteraan Iran.

“Apa yang kita lakukan adalah menakjubkan. Kita mengambil alih Venezuela dan pada dasarnya kita telah mengambil alih Iran,” kata Trump.

Apabila didesak mengenai istilah “perkara kecil” sedangkan 18 anggota tentera AS telah terbunuh, Trump yang semakin berang membandingkan perang Iran dengan peperangan AS yang berlangsung selama bertahun-tahun di Vietnam dan Afghanistan.

“Saya tidak fikir ia penting apa yang anda panggil. Apa yang penting ialah hakikat bahawa kita telah mencapai kejayaan yang luar biasa. Kita telah menghalang Iran daripada memiliki senjata nuklear,” katanya. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here