Oleh: Nurul Aishah Khairuddin
“MAK ayah dah semakin tua. Siapa nak jaga kalau bukan kita?”
Bagi ramai keluarga Malaysia, soalan ini sebenarnya tidak perlu dijawab. Anak-anak akan menjaga ibu bapa apabila mereka semakin berusia. Ada yang menghantar ke hospital, membeli ubat, menyediakan makanan, menguruskan urusan harian dan menemani mereka di rumah.
Ia mungkin dianggap perkara biasa dalam sebuah keluarga. Tetapi, pernahkah kita bertanya satu lagi soalan – siapa yang menjaga orang yang menjaga warga emas? Persoalan ini semakin penting apabila Malaysia bergerak ke arah masyarakat menua.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), penduduk berumur 65 tahun dan ke atas meningkat daripada 7.6 peratus pada 2024 kepada 8.0 peratus pada 2025. Dalam tempoh yang sama, jumlah penduduk Malaysia dianggarkan meningkat daripada 34.1 juta kepada 34.2 juta orang.
Lebih menarik, Kuala Lumpur sendiri kini telah mencapai status negeri yang menua. Pada 2025, penduduk berumur 65 tahun dan ke atas membentuk 7.1 peratus daripada penduduk Kuala Lumpur, menjadikannya antara negeri terbaharu yang mencapai status ini, bersama Melaka (7.3 peratus) dan Pahang (7.1 peratus).
Menurut DOSM, sesebuah negeri dianggap sebagai ageing state apabila penduduk berumur 65 tahun dan ke atas melebihi 7 peratus daripada jumlah penduduknya. Angka ini mungkin kelihatan seperti statistik semata-mata. Tetapi di sebalik angka tersebut ialah ibu, bapa, datuk, nenek dan ahli keluarga kita yang mungkin memerlukan lebih banyak penjagaan.
Dan di sebalik mereka pula terdapat anak-anak, pasangan atau ahli keluarga lain yang mengambil tanggungjawab sebagai penjaga. Bagi keluarga berpendapatan rendah, khususnya B40, tanggungjawab ini mungkin bukan sesuatu yang mudah.
Bayangkan sebuah keluarga dengan pendapatan bulanan yang terhad. Setiap bulan mereka perlu memikirkan rumah, makanan, bil utiliti, pengangkutan dan perbelanjaan anak-anak. Kemudian, seorang ibu atau bapa mula memerlukan penjagaan.
Pada awalnya mungkin hanya kos ubat. Selepas itu, ada kos pengangkutan ke hospital. Mungkin perlu membeli lampin dewasa, kerusi roda, makanan khas atau peralatan penjagaan. Sedikit demi sedikit, perbelanjaan keluarga berubah.
Namun, beban menjaga warga emas bukan hanya tentang wang. Ia juga tentang masa. Seorang anak mungkin perlu mengambil cuti untuk membawa ibu mendapatkan rawatan. Ada yang terpaksa keluar awal dari tempat kerja. Ada yang tidak lagi boleh bekerja lebih masa. Ada juga yang mungkin terpaksa mengurangkan waktu bekerja kerana perlu berada di rumah.
Dalam keadaan tertentu, seseorang mungkin terpaksa menolak peluang pekerjaan atau pendapatan tambahan kerana tanggungjawab menjaga ibu atau bapa. Jadi, apabila kita bercakap tentang kos penjagaan warga emas, kita tidak seharusnya hanya bertanya: “Berapa banyak wang yang dibelanjakan?” Kita juga perlu bertanya: “Berapa banyak masa dan peluang pendapatan yang terpaksa dikorbankan?” Inilah yang sering tidak kelihatan.
Kita nampak seorang anak membawa ibunya ke hospital. Tetapi kita mungkin tidak nampak bahawa anak tersebut terpaksa mengambil cuti kerja. Kita nampak sebuah keluarga membeli ubat untuk ayahnya. Tetapi kita mungkin tidak nampak bahawa keluarga itu terpaksa mengurangkan perbelanjaan lain pada bulan tersebut.
Kita nampak seorang anak menjaga bapanya di rumah. Tetapi kita mungkin tidak tahu bahawa dia terpaksa mengurangkan waktu bekerja untuk melakukannya. Sebab itu, penjagaan warga emas perlu dilihat bukan sahaja sebagai isu kesihatan atau kebajikan. Ia juga merupakan isu ekonomi keluarga.
Beban ini boleh berlaku dalam tiga bentuk utama: masa, kewangan dan pekerjaan. Beban masa merujuk kepada berapa banyak masa yang perlu diperuntukkan untuk menjaga warga emas. Beban kewangan pula melibatkan perbelanjaan tambahan seperti rawatan, pengangkutan dan keperluan penjagaan.
Sementara itu, beban pekerjaan berlaku apabila tanggungjawab
penjagaan mempengaruhi waktu bekerja, pendapatan atau peluang pekerjaan. Apabila ketiga-tiga beban ini berlaku serentak, kesejahteraan ekonomi keluarga boleh terjejas.
Bagi keluarga B40, ruang untuk menyerap kejutan seperti ini mungkin lebih terhad. Apabila perbelanjaan meningkat tetapi pendapatan tidak berubah, keluarga mungkin perlu membuat pilihan yang sukar di mana mengurangkan perbelanjaan lain, menggunakan simpanan, berhutang atau bergantung kepada bantuan keluarga. Persoalannya, berapa lama sesebuah keluarga mampu bertahan dalam keadaan ini?
Cabaran ini juga perlu dilihat dalam konteks kehidupan bandar. Kuala Lumpur mempunyai bahagian penduduk umur bekerja yang tinggi, iaitu 76.1 peratus bagi kumpulan umur 15 hingga 64 tahun pada 2025. Ini bermakna isu penjagaan warga emas bukan hanya berkaitan dengan mereka yang telah bersara. Ia turut melibatkan golongan yang masih bekerja dan mungkin pada masa yang sama perlu menjaga ibu bapa yang semakin berusia.
Justeru, apabila Malaysia bersedia menghadapi masyarakat menua, kita tidak boleh hanya memikirkan bagaimana untuk menyediakan kehidupan yang lebih baik kepada warga emas. Kita juga perlu memikirkan bagaimana untuk menyokong keluarga yang menjaga mereka.
Sokongan itu tidak semestinya berbentuk bantuan kewangan sahaja. Perkhidmatan penjagaan harian yang mampu milik, bantuan pengangkutan, sokongan penjagaan berasaskan komuniti, maklumat yang lebih mudah mengenai bantuan kerajaan dan pengaturan kerja yang lebih fleksibel juga boleh membantu mengurangkan tekanan yang ditanggung oleh penjaga.
Pendekatan ini juga selari dengan Dasar Warga Emas Negara yang menekankan peranan individu, keluarga dan masyarakat dalam memastikan kesejahteraan warga emas. Cabaran seterusnya ialah memastikan sokongan tersebut benar-benar sampai kepada keluarga yang memerlukannya.
Kita juga perlu memahami tidak semua keluarga mempunyai kemampuan yang sama. Apa yang mungkin mampu ditanggung oleh keluarga berpendapatan tinggi mungkin menjadi beban besar kepada keluarga B40. Jadi, dasar berkaitan penjagaan warga emas perlu mengambil kira kemampuan ekonomi isi rumah, bukan sekadar keperluan warga emas.
Akhirnya, mungkin sudah tiba masanya kita mengubah sedikit cara kita melihat isu penuaan. Apabila kita bertanya, “Siapa yang akan menjaga warga emas apabila mereka semakin tua?” kita juga perlu bertanya, “Siapa yang akan menjaga penjaga?”.
Kerana apabila Malaysia semakin menua, memastikan penjaga terus mampu menjaga bukan lagi sekadar urusan keluarga. Ia adalah sebahagian daripada persediaan ekonomi dan sosial Malaysia untuk masa hadapan.
Penulis merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Sains Sosial, Pusat Asasi Sains Universiti Malaya.
















