Jerebu tebal menyelubungi kawasan kampus Samarahan Universiti Teknologi MARA Cawangan Sarawak sehingga menjejaskan jarak penglihatan dan suasana persekitaran. foto Facebook Universiti Teknologi MARA Cawangan Sarawak.

KUALA LUMPUR – Sebanyak enam kawasan di Sarawak mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap sangat tidak sihat setakat jam 1 tengah hari ini, dengan IPD Serian merekodkan bacaan tertinggi iaitu 287.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam kenyataan berkata, lima lagi kawasan berkenaan ialah Kuching dengan bacaan IPU 267, Sri Aman (251), Samarahan (242), Samalaju (202) dan Bintulu (201).

Menurutnya, sebanyak 25 kawasan di seluruh negara pula mencatatkan status kualiti udara pada tahap tidak sihat, manakala 26 kawasan berada pada tahap sederhana dan 11 kawasan merekodkan kualiti udara baik.

Antara kawasan yang mencatatkan bacaan tidak sihat ialah Nilai dan Seremban di Negeri Sembilan; Alor Gajah dan Bukit Rambai di Melaka; serta Segamat, Batu Pahat, Kluang, Larkin, Pasir Gudang, Kota Tinggi dan Tangkak di Johor.

Kawasan lain termasuk Rompin dan Balok Baru Kuantan di Pahang, Kota Kinabalu, Kimanis serta Politeknik Kota Kinabalu di Sabah, Labuan, selain Limbang, Miri, Mukah, Kapit, Sibu dan Sarikei di Sarawak serta Johan Setia, Selangor.

JAS berkata, keadaan ini berlaku dalam persekitaran cuaca kering yang berterusan di sebahagian Rantau Selatan ASEAN. Berdasarkan laporan ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) pada 4 September 2026, sebanyak 139 titik panas dikesan di Kalimantan, 138 di Sumatera dan 16 titik panas di Malaysia, iaitu 5 di Sabah, 9 di Sarawak dan 2 di Terengganu.

ASMC turut melaporkan jerebu sederhana hingga tebal diperhatikan bergerak ke arah timur laut dari Kalimantan ke beberapa kawasan di Sarawak, Sabah dan Brunei.

Kepulan asap sederhana hingga tebal turut diperhatikan di Kalimantan Utara dan Kalimantan Timur serta bahagian tengah dan selatan Sumatera.

Jerebu sederhana turut diperhatikan di Singapura, bahagian selatan Semenanjung Malaysia dan bahagian timur Jawa.

Menurutnya, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak (SDMC) sedang memantau secara dekat situasi jerebu di seluruh Sarawak, khususnya bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) di Serian.

Pemantauan meliputi status kualiti udara, keadaan cuaca, titik panas dan pergerakan jerebu bagi menilai perkembangan situasi serta memastikan tindakan sewajarnya dapat diambil.

Dalam masa yang sama, JAS turut menyediakan pelaporan trend kualiti udara di Serian setiap jam kepada SDMC bagi membolehkan perkembangan bacaan IPU dipantau dan dinilai dari semasa ke semasa.

Maklumat ini, katanya penting dalam mengenal pasti perubahan tahap kualiti udara dan menyokong tindakan serta penyelarasan bersama agensi berkaitan mengikut perkembangan situasi.

JAS juga mempertingkatkan pemantauan dan rondaan di kawasan berisiko termasuk hutan, tanah gambut, tapak pelupusan sampah, kawasan pertanian dan perladangan, kawasan industri serta lokasi lain yang berpotensi menjadi punca pembakaran terbuka.

Sebarang sumber pembakaran terbuka atau pencemaran yang dikenal pasti akan disiasat dan tindakan penguatkuasaan akan diambil dengan tegas mengikut peruntukan undang-undang serta bidang kuasa JAS.

JAS akan terus memantau bacaan IPU, titik panas dan perkembangan jerebu rentas sempadan sebagai input kepada penilaian situasi dan penyelarasan tindakan pengurusan jerebu di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan.

Sehubungan itu, pihak industri hendaklah memastikan pelepasan udara daripada punca utama dikurangkan bagi kawasan yang mencatatkan bacaan IPU melebihi 300, selaras dengan keperluan kawalan pencemaran dan tanggungjawab pihak industri dalam membantu mengurangkan tekanan terhadap
kualiti udara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here