PENGKALAN CHEPA – Prestasi pengerusi Perikatan Nasional (PN) di setiap negeri akan dinilai semula selepas tempoh enam bulan pelantikan mereka berakhir bulan ini, sekali gus membuka kemungkinan berlaku perubahan kepimpinan di beberapa negeri.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang dijangka diadakan dalam masa terdekat.
Menurutnya, pelantikan pengerusi PN negeri yang dibuat pada 14 Mac lalu sememangnya tertakluk kepada kajian prestasi selepas tempoh enam bulan.
“Majlis Tertinggi Perikatan Nasional pada 14 Mac 2026 telah melantik sebahagian daripada pengerusi negeri-negeri.
“Ada negeri-negeri yang ditangguhkan pelantikannya atas sebab tertentu dan ada juga yang dibuat pertukaran.
“Dalam minit mesyuarat, dinyatakan bahawa pelantikan yang dibuat tertakluk kepada kajian prestasi selama enam bulan. Dilantik pada Mac, maka September ini sudah cukup enam bulan.
“Berkemungkinan kita akan mengkaji semula,” katanya ketika menggulung perbahasan pada Muktamar Pas Ke-72 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik), di sini, hari ini.
Takiyuddin berkata, mesyuarat Majlis Tertinggi PN akan diadakan bulan ini dan antara perkara utama yang diberi perhatian ialah prestasi pengerusi PN di negeri-negeri.
Katanya, keputusan untuk mengadakan mesyuarat berkenaan dibuat susulan cadangan yang dikemukakan oleh beberapa pembahas.
“Atas cadangan daripada pembahas, Pengerusi PN Malaysia telah memutuskan untuk mengadakan mesyuarat segera pada bulan ini juga.
“Antara yang akan diberikan perhatian dalam mesyuarat itu ialah meneliti kembali prestasi pengerusi-pengerusi Perikatan Nasional negeri-negeri,” ujarnya.
Dalam pada itu, Takiyuddin menegaskan, kuasa melantik pengerusi badan perhubungan PN negeri terletak pada Pengerusi PN sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan gabungan berkenaan.
Beliau berkata, perkara itu jelas dinyatakan menerusi Fasal 21.2(i) Perlembagaan PN yang menetapkan pengerusi badan perhubungan negeri hendaklah dilantik oleh Pengerusi PN.
Menurutnya lagi, penilaian semula prestasi itu penting terutama ketika PN berdepan cabaran membabitkan kedudukan parti-parti gabungan yang masih belum stabil.
“Berkemungkinan kita akan mengkaji semula, terutamanya apabila kita menghadapi masalah ahli gabungan dalam Perikatan Nasional yang kedudukannya belum stabil,” tambahnya. – MalaysiaGazette
















