KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua individu termasuk seorang bergelar Datuk yang juga bekas Pengarah Besar sebuah badan berkanun kerana disyaki terlibat dalam penyelewengan, salahguna kuasa dan rasuah dalam perlantikan syarikat pemaju bagi sebuah projek di Kuala Lumpur
Kedua-dua individu lelaki berusia dalam lingkungan 60-an dan 50-an dipercayai ditahan kira-kira jam 4 petang tadi ketika diminta hadir memberikan keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
Kedua-dua individu tersebut juga disyaki terlibat dalam urusan penjualan tanah milik badan berkanun itu kepada syarikat yang ada kepentingan dengan syarikat pemaju tanpa pengetahuan Ahli Lembaga Pengarah dan anak syarikat.
Kedua-dua suspek akan di bawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya esok bagi mendapatkan perintah reman.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009. -MalaysiaGazette
















