Logo Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan berhubung isu kelewatan pengagihan bekalan baja sebatian tambahan (Baja 3) kepada pesawah di Kedah yang melibatkan kawasan seluas 100,000 hektar di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman mengesahkan, siasatan itu dibuka di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 bagi menyiasat dakwaan berkaitan kelewatan pembekalan baja yang dilantik Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

SPRM Kedah menerima aduan daripada Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PESAWAH) pada 26 Ogos lalu sebelum membuka kertas siasatan berhubung perkara tersebut.

Menurut SPRM, siasatan bukan sahaja tertumpu kepada aspek jenayah malah turut meliputi kemungkinan wujud kelemahan tatakelola yang menyebabkan berlaku kelewatan pembekalan Baja 3 kepada pesawah.

Setakat ini, SPRM telah merakam percakapan seorang saksi daripada PESAWAH selain menerima beberapa dokumen berkaitan untuk membantu siasatan.

Dalam pada itu, SPRM menyambut baik gesaan serta keprihatinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu berkenaan dan sudah berhubung dengan pihak KPKM serta MADA bagi mendapatkan maklumat lanjut.

SPRM memberi jaminan siasatan akan dijalankan secara menyeluruh bagi mengenal pasti punca sebenar kelewatan serta menentukan sama ada terdapat unsur kesalahan jenayah atau kelemahan dalam aspek tatakelola. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here