Penglibatan VYBE dalam inisiatif itu sebagai satu penghormatan dan peluang untuk menyumbang kepada penyampaian mesej perpaduan negara.

KUALA LUMPUR – Bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan ke-69, sebuah lagu baharu bertajuk ‘Kita Warga Malaysia’ bakal dilancarkan dan seiring dengan itu VYBE diumumkan sebagai rakan platform digital rasminya.

Lagu patriotik itu membawa mesej bahawa tanpa mengira kaum, agama, usia atau latar belakang, setiap daripada kita berkongsi satu identiti dan satu tanah air yang sama — kita semua ialah warga Malaysia.

Pengerusi VYBE, Datuk Kamil Othman berkata, muzik dan penceritaan mempunyai keupayaan untuk merentasi batas generasi dan memperkasakan, kaum dan geografi. ‘Kita Warga Malaysia’ bukan sekadar sebuah lagu patriotik malah mencerminkan identiti bersama kita sebagai rakyat Malaysia.

“Walau apa pun latar belakang kita, negara ini ialah rumah kita dan masa depannya merupakan tanggungjawab bersama,” katanya dalam kenyataan.

Kamil merupakan antara tokoh yang telah lama menyumbang kepada pembangunan industri perfileman, kandungan digital dan ekonomi kreatif negara.

Beliau pernah berkhidmat sebagai Naib Presiden Strategi dan Dasar Industri Kreatif di Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) serta Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), sebelum dilantik sebagai Pengerusi FINAS pada tahun 2023.

Sementara itu, Pengasas VYBE dan Pengerusi Zocco Group Sdn. Bhd. (Malaysia) serta Pengerusi International Chinese Foundation (ICF), Dr Kervis pula menyifatkan penglibatan VYBE dalam inisiatif itu sebagai satu penghormatan dan peluang untuk menyumbang kepada penyampaian mesej perpaduan negara.

Dr Kervis

“Bagi saya, kemerdekaan bukan sekadar meraikan apa yang telah dicapai oleh generasi terdahulu. Kemerdekaan juga bermakna memastikan generasi seterusnya mempunyai ruang, keyakinan dan peluang untuk membina masa depan mereka sendiri.

“Saya amat berbesar hati kerana VYBE dapat turut serta dalam inisiatif ‘Kita Warga Malaysia’. Sebagai seorang yang aktif mempromosikan pembangunan AI MCN, saya percaya bahawa teknologi hanya benar-benar bernilai apabila ia mampu memperkasakan manusia, membuka peluang dan membawa manfaat kepada masyarakat.

“Melalui kreativiti dan teknologi, kita mahu memperkasakan bakat tempatan, membawa cerita Malaysia ke pentas yang lebih luas dan membuktikan bahawa suara Malaysia mampu mencipta nilai di peringkat antarabangsa. Inilah cara kita mengisi erti kemerdekaan — dengan membina sesuatu yang boleh diwariskan kepada generasi akan datang,” katanya.

Sementara itu, pelancaran rasmi Aplikasi VYBE dijadualkan berlangsung pada 16 September ini bersempena dengan Hari Malaysia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here