Pegawai SPRM membawa seorang lelaki bergelar Datuk bagi mendapatkan perintah reman ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Mahkamah Majistret Putrajaya. Foto AIZAT ZAINAL, 07 SEPTEMBER 2026.

PUTRAJAYA – Bekas Pengarah Besar Felda menghadapi prosiding reman berhubung siasatan salah guna kuasa membabitkan pelantikan syarikat pemaju bagi sebuah projek di ibu negara serta urusan penjualan tanah milik badan berkanun itu di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Individu berusia lewat 60-an bergelar Datuk itu tiba kira-kira pukul 9.15 pagi dengan menaiki kenderaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau yang mengenakan baju berkolar hijau ditahan pada kira-kira pukul 4 petang semalam selepas hadir ke Ibu Pejabat SPRM bagi membantu siasatan.

Turut ditahan ialah seorang lelaki berusia lingkungan 50-an yang hadir untuk memberikan keterangan dalam siasatan berkenaan.

Penahanan itu dibuat susulan pembukaan tujuh kertas siasatan oleh SPRM minggu lalu berhubung dakwaan penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah membabitkan Felda serta anak syarikatnya, Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman sebelum ini berkata, operasi khas berskala besar dikenali sebagai Ops Fella itu memberi tumpuan terhadap transaksi pelaburan dan pengambilalihan aset oleh pengurusan Felda dan FIC sepanjang tempoh 10 tahun antara 2010 hingga 2020.

Daripada tujuh kertas siasatan itu, enam dibuka pada 24 Ogos lalu manakala satu lagi merupakan kertas siasatan lama yang masih aktif dan kini dalam proses Bantuan Perundangan Bersama (MLA).

Antara perkara yang disiasat termasuk pelaburan dalam Syarikat Tataran Aras Sdn Bhd yang berpangkalan di Limbang, Sarawak; pengambilalihan Grand Borneo Hotel Sdn Bhd di Sabah serta pembelian Grand Plaza Service Apartments di London.

Siasatan turut meliputi penubuhan Felda Wellness Corporation Sdn Bhd, pengambilalihan Felda House dan Grand Felda House serta dakwaan penyelewengan berkaitan pembangunan Projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here