KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim hari ini memperkenan penamatan pengisytiharan darurat bagi seluruh Bahagian Serian, Sarawak yang sebelum ini diisytiharkan susulan keadaan jerebu.
Perkenan tersebut dibuat selepas Seri Paduka Baginda mengambil kira nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pandangan Premier Sarawak serta laporan agensi berkaitan yang menunjukkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Bahagian Serian tidak lagi berada pada paras bahaya.
Bagaimanapun Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan memaklumkan, keadaan jerebu di Sarawak masih belum pulih sepenuhnya apabila bacaan IPU di beberapa kawasan khususnya Serian dan Samarahan, masih berada pada tahap amat tidak sihat.
Sehubungan itu, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak akan terus memantau keadaan jerebu secara rapi bagi memastikan keselamatan dan kesihatan penduduk di kawasan terjejas.
Penduduk di kawasan terbabit turut dinasihatkan supaya mengehadkan aktiviti di luar rumah dan sentiasa mematuhi arahan serta nasihat yang dikeluarkan pihak berkuasa.
– MalaysiaGazette
















