KUANTAN – Dua wanita direman selama enam hari bagi membantu siasatan kes mengkasari kanak-kanak dalam dua kes berbeza di pusat asuhan Taska di daerah Temerloh dan Kuantan.
Menurut Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, kedua-dua suspek merupakan kakitangan taska terbabit masing-masing berusia 26 dan 31 tahun direman sehingga 12 September depan.
Sebelum itu, kedua-dua mereka dibawa ke Mahkamah Majistret Temerloh dan Mahkamah Majistret Kuantan pagi ini selepas ditahan semalam.
“Wanita berusia 26 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan kes seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun yang disyaki dikasari pengasuh di sebuah taska di Mentakab, Temerloh manakala, seorang lagi wanita berusia 31 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun lapan bulan yang disyaki dikasari di sebuah taska di kawasan Bukit Setongkol,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung video tular di media sosial yang memaparkan kejadian mangsa berusia dua tahun lapan bulan dimarahi, ditarik rambut dan digoncang kepala oleh seorang wanita yang juga kakitangan Taska terbabit.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Temerloh Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron berkata, pihaknya menerima laporan daripada ibu mangsa berusia 29 tahun, kira-kira 6 petang semalam berhubung kejadian mangsa berusia dua tahun disyaki dikasari pengasuh di sebuah taska dekat Temerloh.
Dua klip rakaman video yang memaparkan kejadian kanak-kanak terbabit disyaki sedang dikasari pengasuh di taska turut tular di media sosial. – MalaysiaGazette
















