KUALA LUMPUR – Bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, dibawa ke Mahkamah Sesyen di sini pagi ini bagi prosiding reman sebelum dijangka didakwa atas pertuduhan rasuah.
Peguamnya, Datuk Abu Bakar Isa Ramat berkata, Abdul Azeez, 60, ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman petang semalam sebelum dibawa ke Balai Polis Dang Wangi.
“Polis akan memohon perintah reman di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya ketika ditemui di lobi kompleks mahkamah.
Difahamkan, Abdul Azeez dibawa masuk ke Mahkamah Sesyen melalui laluan dalam bagi mengelak daripada ditemui media yang sudah menunggu sejak jam 7 pagi.
Pada masa sama, sekumpulan penyokong turut berkumpul di perkarangan mahkamah sebagai tanda solidariti kepada bekas Ahli Parlimen Baling itu.
Anak Abdul Azeez, Mohamed Khairul Azman, turut kelihatan di mahkamah bersama beberapa pemimpin UMNO.
Malam tadi, Khairul Azman meluahkan kesedihan susulan penahanan bapanya dan apa yang terpaksa dilalui, selain meminta orang ramai mendoakan serta memberikan sokongan kepada bapanya.
Kawalan keselamatan di sekitar kompleks mahkamah turut diperketatkan dengan kehadiran anggota polis yang lebih ramai berbanding kebiasaan.
Sebelum ini, Abdul Azeez direman selama tujuh hari bermula 27 Ogos hingga 2 September lalu bersama bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah.
Kedua-duanya direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Siasatan itu dibuat susulan pendedahan dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji. –
MalaysiaGazette
















