KUALA LUMPUR – Tragedi nahas helikopter yang mengorbankan lima petugas kesihatan di Sarawak mengingatkan mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kepada cabaran besar dihadapi petugas perubatan yang berkhidmat di kawasan pedalaman, terutama dari segi akses dan infrastruktur.
Menerusi hantaran di laman Facebook beliau yang dibuat oleh pihak pentadbir akaunnya, Najib berkata beliau pernah mengunjungi Long Jegan, Marudi dan beberapa kawasan lain sekitar 2016 serta berkesempatan meluangkan masa bersama petugas perubatan yang bertugas di kawasan pedalaman.
“Amat sedih bila baca mengenai nahas helikopter petugas kesihatan di Marudi semalam.
“Semoga ahli-ahli keluarga tabah menghadapi dugaan ini. Takziah diucapkan,” menurut hantaran itu.
Mengimbau pertemuan bersama petugas kesihatan ketika itu, Najib menyifatkan tugas mereka di kawasan pedalaman sebagai cukup mencabar berikutan masalah akses, infrastruktur dan keadaan persekitaran yang berbeza berbanding kawasan bandar.
“Cukup mencabar tugasan mereka kerana isu akses, infrastruktur, dan keadaan berbanding di bandar,” ujarnya.
Menurut beliau, tanggungjawab kerajaan adalah memastikan perkhidmatan dan bantuan dapat disampaikan kepada semua rakyat, termasuk penduduk di kawasan pedalaman.
Najib turut mengimbau pelaksanaan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) pada peringkat awal yang memerlukan pegawai kerajaan bersama anggota keselamatan menghantar bantuan menggunakan bot ke kawasan tertentu.
Bagi perkhidmatan kesihatan pula, petugas perubatan ditugaskan mengikut jadual untuk memberikan rawatan, manakala bekalan ubat-ubatan turut dihantar ke kawasan berkenaan.
“Sumbangan dan pengorbanan mereka mulia dan sangat dihargai,” tambahnya.
Beliau berkata cabaran mendapatkan akses kepada penduduk pedalaman bukan hanya berlaku di Sabah dan Sarawak, malah turut dihadapi di beberapa kawasan Semenanjung Malaysia seperti Hulu Tembeling di Pahang dan Hulu Kelantan.
Namun, keadaan di Semenanjung Malaysia kini lebih mudah berikutan kewujudan jaringan jalan raya yang membolehkan akses ke kawasan pedalaman menjadi lebih baik.
“Di Sabah dan Sarawak ada kawasan masih amat sukar kerana pelbagai faktor terutamanya infrastruktur,” jelasnya.
Sehubungan itu, Najib menjelaskan keadaan berkenaan menjadi antara sebab pentadbiran Kerajaan Persekutuan sebelum 2018 memberikan tumpuan kepada dua agenda utama, iaitu Inisiatif Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Infrastruktur Asas Luar Bandar dan Lebuhraya Pan Borneo.
Katanya, pembangunan infrastruktur penting bagi memastikan perkhidmatan dan bantuan dapat sampai kepada rakyat di kawasan pedalaman, selain memudahkan petugas menjalankan tanggungjawab mereka.
Mengakhiri hantaran itu, Najib mendoakan agar segala urusan petugas dipermudahkan dan keselamatan mereka sentiasa diberi keutamaan.
“Semoga segala urusan para petugas dipermudahkan dan sentiasa utamakan keselamatan,” katanya. -MalaysiaGazette
















