KUALA LUMPUR – Bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim direman selama dua hari bermula hari ini bagi membantu siasatan polis berhubung kes tipu berkaitan hibah.
Perintah reman itu disahkan peguamnya, Datuk Abu Bakar Isa Ramat selepas prosiding di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, pagi ini.
“Direman dua hari,” katanya ringkas ketika ditemui pemberita.
Abdul Azeez, 60, ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman petang semalam sebelum dibawa ke Balai Polis Dang Wangi.
Abu Bakar sebelum ini memaklumkan polis akan memohon perintah reman terhadap anak guamnya bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Difahamkan, dua bekas pegawai TH turut direman bagi membantu siasatan kes tipu berkaitan hibah berkenaan.
Abdul Azeez dipercayai dibawa ke Mahkamah Majistret melalui laluan dalaman untuk prosiding reman itu ketika petugas media menunggu di sekitar Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur sejak awal pagi.
Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Azeez juga dijangka menghadapi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Jenayah 9, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.
Sebelum ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan pihaknya telah mendapat izin untuk mendakwa seorang bekas pengerusi sebuah badan berkanun Persekutuan di mahkamah berkenaan.
Anak Abdul Azeez, Mohamed Khairul Azman Abdul Azeez dan Datuk Armand Azha Abu Hanifah turut kelihatan di kompleks mahkamah bersama beberapa penyokong.
Malam tadi, Mohamed Khairul Azman menerusi satu hantaran di media sosial mengesahkan penahanan bapanya.
Sebelum ini, Abdul Azeez turut direman selama tujuh hari oleh SPRM bermula 27 Ogos lalu bersama bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah.
Kedua-duanya direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009.
Siasatan SPRM itu dibuat susulan pendedahan dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji. – MalaysiaGazette
















