Pasangan suami isteri bersama Kamal Hisham (tengah) selepas prosiding kes dera pembantu rumah di Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini

JOHOR BAHRU – Keputusan dua pasangan suami isteri yang berdepan beberapa pertuduhan termasuk mencederakan tiga pembantu rumah warga Indonesia pada Disember tahun lalu, ditetapkan pada 18 September ini.

Mahkamah Majistret di sini hari ini menetapkan demikian bertujuan memberi ruang kepada pihak pendakwaan mendapatkan arahan lanjut daripada Jabatan Peguam Negara (AGC).

Majistret A Shaarmini membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Syafiqah Sha’ari selepas pengadu kes berkenaan mengambil keputusan menyelesaikan kes berkenaan di luar mahkamah.

Terdahulu, keempat-empat tertuduh, Muhamad Firdaus Sha’aban, 33, dan isterinya, Nurafiqah Nabila Hazhar, 33, serta Muhamad Hirzihaziq Abulae’s, 30, dan isterinya, Nurfarah Ainna Hazhar, 34, hadir ke mahkamah hari ini bagi mendengar prosiding kes berkenaan.

Sementara itu, peguam keempat-empat tertuduh, Kamal Hisham Jaafar ketika ditemui di luar mahkamah berkata, ketiga-tiga pembantu rumah berkenaan telah hadir ke beberapa balai polis semalam dan secara sukarela menarik balik laporan yang dibuat terhadap anak guamnya.

Menurutnya, anak guamnya juga telah mengambil tindakan sama dengan menarik balik laporan polis berkaitan kes berkenaan.

“Penyelesaian berkenaan dicapai hasil kerjasama semua pihak termasuk Konsulat Jeneral Republik Indonesia di Johor, selain menegaskan bahawa perkara itu diselesaikan secara baik dan harmoni.

“Sebenarnya kami telah mencapai kata sepakat dengan kerjasama pihak Perwakilan Indonesia dan semuanya berjaya diselesaikan dengan baik.

“Saya berterima kasih kepada semua pihak terutama Konsul Jeneral Indonesia di Johor yang memberikan kerjasama sehingga perkara ini dapat diselesaikan dengan baik,” katanya.

Menurutnya, penyelesaian secara harmoni itu penting memandangkan kes berkenaan mendapat perhatian ramai khususnya masyarakat Indonesia yang berada di Malaysia.

Beliau berkata, selepas laporan polis ditarik balik, pihak polis akan menjalankan proses temu bual bagi memastikan laporan berkenaan ditarik secara sukarela tanpa sebarang paksaan.

Terdahulu, keempat-empat mereka dihadapkan ke mahkamah sama di sini pada 22 Jun lalu dengan Muhamad Firdaus didakwa atas lima pertuduhan manakala Nurafiqah, Muhamad Hirzihaziq, Nurfarah Ainna, masing-masing berdepan tiga pertuduhan.

Kesemua mereka bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan berkenaan dengan Nurfarah Ainna dan suaminya masing-masing dikenakan ikat jamin sebanyak RM9,000, manakala Muhamad Firdaus dengan jumlah RM11,500 dan isterinya dibenarkan ikat jamin RM5,500.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here