KUALA LUMPUR – Seorang lelaki maut manakala seorang wanita warga asing cedera selepas motosikal yang dinaiki mereka terbabas sebelum bergesel dengan besi penghadang jalan di Kilometer 47.1, Jalan Cyberjaya-Putrajaya, di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Sepang, ACP Norhizam Bahaman berkata, pihaknya menerima makluman mengenai kemalangan maut itu kira-kira jam 7.32 pagi.
“Siasatan awal mendapati penunggang dan pembonceng motosikal Yamaha 135LC berwarna biru ketika itu dalam perjalanan dari arah Dengkil menghala ke Putrajaya.
“Apabila sampai di tempat kejadian, penunggang dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan bergesel dengan besi penghadang jalan di sebelah kiri lorong kecemasan sebelum kedua-duanya terjatuh di atas permukaan jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, akibat kemalangan itu, penunggang lelaki berusia 30-an mengalami kecederaan di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Manakala pembonceng wanita warga asing berusia 40-an pula mengalami kecederaan pada muka dan leher sebelum dihantar ke hospital tempatan untuk mendapatkan rawatan.
Menurutnya, kedua-dua mangsa bekerja di sebuah pusat jagaan warga emas swasta.
Norhizam berkata, penunggang motosikal adalah lelaki tempatan berusia 30-an dan mempunyai lesen memandu yang masih sah tempoh.
Kes disiasat dan diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau membahayakan sehingga menyebabkan kematian.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian ini diminta menghubungi atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Mohamad Fadzil Zainol Abidin di talian 019-558 8221 atau 03-8777 4264,” katanya. – MalaysiaGazette
















