Ab Rahaman menunjukkan antara barang dan peralatan yang dirampas selepas menahan lima suspek, selepas sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Polis menahan lima suspek termasuk seorang warga emas kerana terlibat kegiatan pecah kenderaan dan mencuri barangan berharga di empat daerah di negeri ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, mereka terdiri daripada warga emas terbabit, dua lelaki dan dua wanita warga Indonesia berusia 26 hingga 60 tahun ditahan kelmarin dan semalam di sekitar Kulai dan Muar.

“Kumpulan ini menyasarkan kenderaan yang diletakkan di kawasan sunyi dan jauh dari pandangan orang ramai sebelum memecah cermin menggunakan palam pencucuh.

Antara barang dan peralatan yang dirampas selepas menahan lima suspek kes pecah masuk kenderaan

“Dengan tertangkapnya kesemua suspek kita berjaya menyelesaikan 10 kes di kawasan Johor Bahru Utara, Johor Bahru Selatan, Iskandar Puteri dan Muar,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Ab Rahaman berkata, pihak tidak menolak kemungkinan suspek turut melakukan jenayah sama di negeri lain dan pihaknya giat memburu saki baki ahli kumpulan berkenaan.

Susulan penahanan itu pihaknya merampas dua buah kereta selain pelbagai barangan antaranya tiga keping kad ATM, lapan buah telefon bimbit, satu alat kawalan jauh kenderaan serta wang tunai RM10,105.

Tiga keping kad ATM, lapan buah telefon bimbit, satu alat kawalan jauh kenderaan serta wang tunai RM10,105 antara barangan yang dirampas

 

Ujar beliau, tiga suspek warga asing termasuk seorang wanita direman bermula semalam hingga Jumaat ini manakala warga emas dan seorang lagi wanita warga asing itu pula bermula hari ini sehingga Sabtu.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here