KUALA LUMPUR – Peguam kepada Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim menafikan anak guamnya memilih atau berkeras untuk memakai baju lokap berwarna ungu serta bergari ketika dibawa ke mahkamah hari ini.
Peguamnya, Datuk Amer Hamzah Arshad berkata, Abdul Azeez pada awalnya dibenarkan memakai pakaian biasa sebelum dibawa keluar dari lokap polis.
Bagaimanapun, dakwa beliau, anak guamnya diarahkan menukar pakaian kepada baju lokap berwarna ungu tidak lama sebelum dibawa keluar, selaras dengan prosedur operasi standard Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Abdul Azeez kemudiannya dibawa ke Mahkamah Sesyen (Jenayah) 2 bagi permohonan reman oleh pihak polis dalam keadaan memakai pakaian tersebut. Mahkamah kemudian membenarkan perintah reman selama dua hari terhadap beliau.
“Pada setiap masa berkenaan, anak guam kami kekal berada di bawah jagaan dan kawalan PDRM. Gari yang dipakaikan kepadanya juga dilakukan oleh pihak polis dan bukannya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” jelasnya dalam satu kenyataan malam ini.
Amer berkata, selepas prosiding reman selesai, anak guamnya dibawa terus dari Mahkamah Sesyen (Jenayah) 2 ke Mahkamah Sesyen (Jenayah) 9 bagi pertuduhan SPRM terhadap beliau.
“Sepanjang tempoh tersebut, termasuk ketika dipindahkan dari satu mahkamah ke mahkamah yang lain, anak guam kami kekal dalam tahanan polis.
“Beliau tidak dibebaskan daripada tahanan polis antara kedua-dua prosiding tersebut dan tidak diberikan sebarang peluang untuk menukar pakaian lokap sebelum dibawa ke Mahkamah Sesyen (Jenayah) 9,” ujarnya.
Amer Hamzah berkata, pihaknya amat terkejut dengan kenyataan SPRM yang didakwa menyatakan Abdul Azeez memilih atau berkeras untuk memakai pakaian lokap dan gari ketika hadir di mahkamah..
Untuk mengelakkan sebarang kekeliruan, katanya, Abdul Azeez berada dalam tahanan PDRM sepanjang tempoh berkenaan, manakala pakaian lokap dan gari tersebut adalah berkaitan dengan tempoh tahanan polis berkenaan.
Dalam keadaan sedemikian, sebarang dakwaan bahawa Abdul Azeez secara sukarela memilih untuk tampil dalam keadaan tersebut adalah tidak benar dan memberikan gambaran yang mengelirukan mengenai keadaan sebenar ketika beliau dibawa ke mahkamah.
“Kami berharap penjelasan di atas dapat menjelaskan keadaan yang menyebabkan anak guam kami hadir di mahkamah hari ini serta membetulkan sebarang salah faham yang timbul daripada laporan berkaitan perkara tersebut.
“Anak guam kami mengekalkan semua haknya, termasuk hak untuk mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya terhadap mana-mana pihak yang mencipta, menerbitkan, menyebarkan atau terus mengulangi naratif palsu atau mengelirukan berhubung keadaan kejadian ini,” tambahnya.

SPRM dalam kenyataan hari ini berkata, bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji itu yang memilih untuk memakai baju lokap PDRM berwarna ungu dan bergari ketika hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini walaupun telah dinasihati pegawai SPRM dan polis yang mengiringi beliau serta peguamnya sendiri.
“Untuk makluman, sebelum dibawa ke mahkamah, beliau telah dinasihati pegawai SPRM serta pegawai polis yang mengiringi beliau dan juga peguamnya untuk menukar kepada pakaian biasa selain menyatakan tidak perlu memakai gari.
“Bagaimanapun, beliau berkeras untuk kekal memakai pakaian lokap dan juga gari berkenaan sehingga proses pertuduhan selesai dibacakan,” kata SPRM dalam satu kenyataan, hari ini. – MalaysiaGazette
Azeez berkeras mahu pakai baju lokap ungu dan bergari – SPRM
















