JOHOR BAHRU – Kenyataan Majlis Setiausaha Pakatan Harapan (PH) bahawa individu yang disabitkan kesalahan perlu menjalani sepenuhnya tempoh hukuman ditetapkan mahkamah, menimbulkan persoalan tentang konsistensi PH dalam mempertahankan prinsip rule of law (kedaulatan undang-undang).
Ketua Penerangan UMNO Bahagian Johor Bahru, Ahmad Solehin Abd Ghani berkata, rule of law mesti dihormati secara menyeluruh dan terpakai sama rata kepada semua pihak tanpa mengira parti mana.
“Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan mekanisme pengampunan, penangguhan dan peringanan hukuman. Ia bukan proses di luar undang-undang, tetapi sebahagian daripada kerangka Perlembagaan itu sendiri.
“Justeru, tidak tepat untuk memberikan gambaran bahawa menghormati keputusan mahkamah semestinya bermaksud seseorang perlu menjalani keseluruhan hukuman asal,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Terdahulu media melaporkan, PH menegaskan mana-mana individu yang disabitkan kesalahan rasuah atau salah guna kuasa, khususnya membabitkan kes berprofil tinggi, perlu menjalani sepenuhnya hukuman yang ditetapkan mahkamah.
Pendirian itu selari dengan prinsip reformasi institusi, tatakelola baik serta penolakan terhadap sebarang bentuk rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang menjadi asas perjuangan gabungan berkenaan.
Kenyataan PH itu tidak menamakan mana-mana kes atau individu, tetapi dikeluarkan susulan laporan bahawa Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan dijangka bersidang pada Jumaat untuk mempertimbangkan, antara perkara lain, permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk mendapatkan pengampunan terhadap sabitan berkaitan skandal1MDB.
Mengulas lanjut, Ahmad Solehin yang juga seorang peguam berkata, mahkamah menjalankan fungsinya menurut undang-undang, manakala proses pengampunan juga berjalan menurut Perlembagaan yang kedua-duanya wajib dihormati.
Malah katanya, bagi Wilayah Persekutuan, Lembaga Pengampunan mempunyai komposisi yang diperuntukkan dalam Perlembagaan termasuk menteri yang bertanggungjawab bagi Wilayah Persekutuan, Peguam Negara serta anggota lain sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 42.
Maka katanya, beri ruang kepada proses berkenaan berjalan sebagaimana yang ditetapkan Perlembagaan tanpa didahului oleh tekanan atau kesimpulan politik.
“Seperti ditegaskan oleh Setiausaha Agung UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dusuki, kita tidak seharusnya mendahului pertimbangan Lembaga Pengampunan atau menuntut apa-apa keputusan tertentu. Hormati proses dan hormati apa juga keputusan yang dibuat secara sah.
“Di sinilah PH perlu konsisten dengan prinsip yang pernah mereka pertahankan. Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima pengampunan pada tahun 2018 sebelum menyelesaikan keseluruhan tempoh hukumannya,” ujarnya.
Ketika itu katanya, proses pengampunan tersebut diterima dan dihormati sebagai suatu proses yang sah di sisi Perlembagaan.
“Maka prinsip yang sama mesti terpakai hari ini. Tidak boleh apabila melibatkan pemimpin sendiri, proses pengampunan dihormati sebagai sebahagian daripada Perlembagaan, tetapi apabila melibatkan pihak lain, ditekankan pula bahawa hukuman mesti dijalani sepenuhnya.
“Inilah asas rule of law, undang-undang yang sama, proses yang sama dan penghormatan yang sama tanpa mengira siapa individu yang terlibat,” katanya.
Tegasnya, prinsip undang-undang tidak boleh berubah mengikut kedudukan atau kepentingan politik seseorang.
“Kita semua bersetuju bahawa rasuah mesti diperangi dan keputusan mahkamah mesti dihormati. Tetapi dalam mempertahankan prinsip tersebut, jangan sampai kita sendiri mewujudkan dua piawaian dalam menghormati proses Perlembagaan.
“Hormati mahkamah. Hormati Perlembagaan. Hormati proses. Jangan ada dua piawaian. Apa juga keputusan yang akhirnya dibuat melalui proses yang sah, prinsip rule of law menuntut kita menghormatinya secara konsisten,” katanya. – MalaysiaGazette
















