Benjamin Netanyahu. Photo AFP

BAITULMAQDIS – Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, Republik Islam Iran kini berada di ambang kejatuhan ketika pertempuran dalam perang Asia Barat yang memasuki bulan keenam semakin sengit.

Beliau berkata demikian ketika mengunjungi tentera Israel di selatan Syria pada hari Rabu.

“Masih ada kerja yang perlu dilakukan – tugas utama adalah untuk menjatuhkan rejim pengganas di Iran. Kami sangat hampir untuk mencapai perkara itu. Kami tahu seluruh paksi akhirnya akan runtuh,” katanya di sebelah Syria di Gunung Hermon, di sempadan Israel-Syria, ketika lawatan bersama Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz.

Di selatan Syria, tentera Israel ditempatkan di sebuah “zon keselamatan” sejak kejatuhan pemerintah Syria yang lama, Bashar al-Assad, pada Disember 2024.

Pasukan Israel menduduki kawasan yang sebelum ini menjadi zon penampan yang dipantau Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan memisahkan tentera Israel serta Syria di kawasan Bukit Golan yang diduduki Israel sejak 1974.

“Kami tidak akan membenarkan mana-mana tentera pengganas bertapak di sempadan kami,” tegas Netanyahu.

Katz turut mengunjungi tentera Israel yang ditempatkan di selatan Syria dua minggu lalu, yang mencetuskan kecaman daripada Damsyik.

Syria menyifatkan tindakan itu sebagai “pelanggaran terang-terangan terhadap kedaulatan dan keutuhan wilayah negara”.

Israel telah melancarkan ratusan serangan di Syria sejak kejatuhan Assad dan berulang kali melakukan pencerobohan ke wilayah Syria.

Pegawai Israel juga berulang kali berikrar untuk mengekalkan penempatan tentera di zon keselamatan itu, ketika Israel berusaha mendapatkan kawasan demilitarisasi yang lebih luas.

Ancaman Netanyahu terhadap Iran itu dibuat ketika Tehran dan Washington masih buntu berhubung Selat Hormuz yang strategik, dengan kedua-dua pihak saling melancarkan serangan sepanjang minggu lalu.

Perang berkenaan memasuki bulan keenam selepas Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan serangan terhadap  Iran pada penghujung Februari. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here