Kesemua suspek dibawa ke Mahkamah Bukit Mertajam bagi mendapatkan permohonan reman hari ini.

BUKIT MERTAJAM – Lima individu termasuk dua warga asing direman empat hari bagi membantu siasatan kes culik seorang lelaki yang kemudian ditemukan mati dalam tangki septik di sebuah rumah teres di Nibong Tebal semalam.

Permohonan reman terhadap kesemua suspek berusia antara 25 hingga 35 tahun itu dibenarkan Majistret Savinder Singh Jugindar Singh bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan.

Mereka terdiri daripada tiga warga tempatan termasuk pemilik rumah manakala dua lagi masing-masing lelaki dan wanita warga Myanmar.

Difahamkan, kesemua mereka ditahan polis di sekitar daerah Seberang Perai Selatan (SPS) dalam operasi berasingan antara jam 2 petang hingga 10 malam semalam.

Tangkapan dibuat susulan siasatan kes penculikan seorang lelaki tempatan berusia 52 tahun yang kemudian ditemui meninggal dunia dalam tangki septik di bahagian belakang sebuah rumah teres setingkat di Taman Seri Bistari, Nibong Tebal dekat sini.

Wanita warga Myanmar antara direman.

Mangsa yang dipercayai sudah kira-kira dua hari berada di dalam tangki berkenaan ditemui dalam keadaan tangan dan kaki diikat.

ARTIKEL BERKAITAN

Mayat lelaki ditemui dalam tangki septik, tangan dan kaki diikat

Sementara itu, MalaysiaGazette difahamkan setakat ini pihak polis telah menahan 10 suspek secara keseluruhan bagi membantu siasatan kes tersebut.

Tangkapan dilakukan sekitar negeri ini dan Negeri Sembilan bermula petang semalam sehingga awal pagi tadi membabitkan lima warga tempatan dan lima warga Myanmar.

Siasatan lanjut masih dijalankan pihak polis bagi mengenal pasti motif serta peranan setiap suspek dalam kes berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here