Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh berucap pada perasmian pembukaan Perhimpunan Agung Pemuda UMNO di Dewan Merdeka, WTCKL, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 10 SEPTEMBER 2026.

KUALA LUMPUR – UMNO tidak pernah flirting atau mencari pasangan politik apabila membuka ruang kerjasama dengan Pas sebaliknya langkah itu didorong usaha mencari titik temu demi masa depan bangsa.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh berkata, UMNO dan Pas masing-masing mempunyai kekuatan sebagai dua blok besar politik Melayu-Islam, justeru kedua-duanya perlu bergerak sehala dan tidak terus bertembung sehingga menyebabkan kekuatan Melayu semakin berpecah.

“Ramai yang kata bahawa kita ini sedang floating nak cari pasangan politik. Saya nak jawab dengan terus terang. Kita tak pernah pergi mencari cinta politik tapi kita pergi untuk mencari titik temu demi masa depan bangsa kita ini,” katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar Ketua Pemuda UMNO di sini hari ini.

Hadir menyaksikan ucapan dasar itu adalah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmed Zahid Hamidi, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Khaled Nordin serta Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh, Datuk Mohd Hasnol Ayub dan Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Turut kelihatan, Naib Ketua Pemuda UMNO, Mohd Hairi Mad Shah dan setiausahanya, Mohd Hafiz Ariffin, Ketua Pemuda MCA, Ling Tian Soon; Ketua Pemuda Arvind Krishnan dan Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden.

Tambah Dr Akmal, kerjasama antara UMNO dan Pas tidak bermaksud mana-mana pihak perlu mengorbankan identiti atau menjadi seperti parti yang satu lagi.

“Kita tak perlu nak padam sejarah tapi jangan pula kita menjadi tawanan sejarah. UMNO kekallah sebagai UMNO. UMNO tak perlu jadi Pas.

“Ada orang dulu masa Muafakat Nasional dulu, bila duduk dengan Pas, dia lebih Pas dari UMNO. Dia lebih Pas dari Pas. Ada orang Pas juga bila duduk dengan UMNO, dia lebih UMNO dari UMNO. Kita tak perli, tak perlu nak jadi orang Pas. Orang Pas kekal dengan orang Pas. Orang UMNO kekal dengan orang UMNO,” katanya.

Dr Akmal berkata, penyatuan yang matang tidak menuntut UMNO dan Pas membuang identiti masing-masing sebaliknya kedua-dua parti perlu bijak mengurus perbezaan demi kepentingan lebih besar.

“Namun penyatuan yang matang, tidak menuntut kita untuk membuang siapa identiti kita tetapi penyatuan yang matang, dia menuntut kita mengurus perbezaan dengan penuh kebijaksanaan,” katanya.

Beliau berkata, realiti politik semasa perlu diterima dengan keberanian kerana UMNO dan Pas merupakan dua tenaga besar politik Melayu-Islam yang akan lebih kuat sekiranya bergerak dalam satu arah.

“Ya, UMNO mempunyai kekuatannya tersendiri. Ya, Pas juga mempunyai kekuatannya sendiri. Namun lagi dua tenaga besar ini bergerak sendirian dan saling bertembung, gelombang kita ini takkan mampu untuk kita sampai ke pantai.

“Apabila kedua-duanya bergerak dalam satu arah, insya-Allah, insya-Allah, kita mampu merempuh apa jua cabaran yang akan dihadapi ini,” tegasnya.

Dr Akmal turut menegaskan, Pemuda UMNO tidak akan berganjak daripada agenda penyatuan ummah meskipun berdepan tekanan, kecaman dan cubaan untuk melagakan UMNO dengan Pas.

“Dia tekanlah kita. Dia picitlah kita. Dia hinalah kita. Semata-mata kalau nak menggagalkan penyatuan ummah ini, ini ikrar Pemuda. Kita sama sekali tidak akan pernah berundur,” katanya.

Katanya, pendirian itu bukan dibuat selepas kemenangan di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan sebaliknya telah diperjuangkan Pemuda UMNO sejak sebelum hasil politik tersebut dapat dilihat.

“Tiga tahun dulu Pemuda dah buka jalan penyatuan. Hari ini tugas kita jauh lebih berat. Iaitu kita perlu menjaga penyatuan ini,” katanya.

Dr Akmal berkata, Pemuda UMNO akan terus berada di hadapan dalam usaha mempertahankan penyatuan berkenaan kerana matlamat akhirnya bukan sekadar kepentingan politik tetapi masa depan bangsa.

“Dan insya-Allah, jika Pemuda yang memulakan gelombang ini Pemuda juga akan menjadi paling hadapan untuk menjaga penyatuan ummah ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here