KUALA LUMPUR – Wanita UMNO memberi ikrar untuk terus berdiri teguh bersama presiden parti, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi terutama dalam menghadapi cabaran untuk mengembalikan kekuatan dan keyakinan rakyat terhadap parti itu.
Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, kepimpinan Ahmad Zahid perlu dihargai kerana beliau terus memimpin ketika parti berdepan antara tempoh paling mencabar dalam sejarah politiknya.
“Terima kasih kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Memimpin sebuah parti ketika berada di puncak adalah satu tanggungjawab.
“Tetapi memimpin ketika parti diuji, ketika keyakinan perlu dibina semula, ketika keputusan-keputusan yang sukar perlu dibuat.
“Itu menuntut ketahanan yang berbeza,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Wanita UMNO Malaysia 2026 di Dewan Merdeka di sini hari ini.
Menurut Noraini, Wanita UMNO merakamkan penghargaan kepada Ahmad Zahid kerana terus memimpin parti melalui landskap politik yang kompleks.
Beliau berkata, kebangkitan semula UMNO dan BN di Johor serta Negeri Sembilan tidak berlaku dengan sendirinya sebaliknya hasil kerja keras jentera dan kepimpinan yang terus bertahan ketika parti berdepan ujian.
Noraini berkata, kemenangan itu juga membawa amanah lebih besar kepada UMNO untuk bekerja lebih kuat dan membina semula kepercayaan rakyat.
Beliau menegaskan, Wanita UMNO akan terus menjadi antara penggerak utama dalam usaha memperkukuh parti di akar umbi dan memastikan Gelombang Kepercayaan dapat diteruskan sehingga pilihan raya umum akan datang. – MalaysiaGazette
















