KUALA LUMPUR – Pergerakan Puteri UMNO mahu tuntutan penyertaan minimum 30 peratus wanita diterjemahkan kepada peluang sebenar untuk wanita berada di meja pembuat keputusan.
Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi berkata, sasaran 30 peratus itu tidak seharusnya sekadar menjadi angka yang diulang dalam ucapan, sebaliknya perlu diwujudkan dalam setiap sektor.
“Sebab itu tuntutan penyertaan 30 peratus wanita tidak boleh tinggal sebagai angka yang kita ulang dalam ucapan.
“Ia mesti diterjemahkan kepada peluang yang boleh dilihat, dirasai dan dibuktikan,” beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, pagi tadi.
Menurutnya, wanita muda perlu diberi ruang untuk memimpin daripada peringkat cawangan dan bahagian sehingga ke Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen.
Beliau berkata, Puteri UMNO turut memperjuangkan supaya diwujudkan laluan kepimpinan wanita muda bawah 40 tahun dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC), kerajaan tempatan, badan berkanun dan pembuatan dasar.
“Bukan sekadar mengejar angka 30 peratus, tetapi memastikan wanita muda berada di meja yang membuat keputusan.
“Kerajaan hendaklah laksanakan program khas untuk wanita muda sertai GLC, kerajaan tempatan, badan berkanun dan pembuat dasar, supaya mereka boleh berada dalam suasana membuat keputusan,” katanya.
Nurul Amal berkata, 30 peratus itu merupakan jumlah minimum dan jika penyertaan wanita melebihi angka berkenaan, ia adalah lebih baik.
“30 peratus ini adalah nombor, kalau lebih Alhamdulillah. Tapi maksudnya kita kena letakkan paling minimum 30 peratus wajib ada di setiap sektor,” katanya. – MalaysiaGazette
















