KUALA LUMPUR – Wanita UMNO mahu isu kesihatan mental generasi muda diberi perhatian lebih awal sebelum tekanan yang dihadapi mereka membawa kepada tragedi.
Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, ibu bapa kini berdepan cabaran baharu apabila anak-anak bukan sahaja dibentuk oleh keluarga dan sekolah tetapi turut dipengaruhi dunia digital.
“Hari ini, anak-anak kita bukan hanya dibesarkan oleh keluarga dan sekolah. Mereka juga sedang dibesarkan oleh algoritma,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Wanita UMNO Malaysia 2026 di Dewan Merdeka di sini hari ini.
Menurut Noraini, golongan muda kini terdedah kepada tekanan, buli siber, penipuan, kandungan pornografi dan teknologi palsu yang semakin sukar dibezakan daripada kandungan sebenar.
“Kita bertanya tentang pelajaran mereka. Kita bertanya tentang pekerjaan mereka. Tetapi berapa kerap kita bertanya, adakah mereka benar-benar baik-baik sahaja?” soalnya.
Sehubungan itu, Wanita UMNO akan memperkenalkan Sahabat Nurani bagi menyediakan sokongan kepada generasi muda melalui pendekatan kesihatan mental, psikologi, pendidikan emosi dan dakwah.
“Kita mahu mereka mempunyai tempat untuk bercerita. Tempat untuk didengar. Dan tempat untuk mendapatkan bantuan.
“Jangan tunggu sehingga tangisan menjadi tragedi. Jangan tunggu sehingga keluarga kehilangan insan yang mereka sayangi,” tegasnya.
Noraini berkata, peranan Wanita UMNO perlu dilihat lebih luas kerana wanita bukan sekadar ibu kepada anak-anak di rumah, tetapi juga berperanan membentuk generasi akan datang. – MalaysiaGazette
















