KUALA LUMPUR – Pergerakan Puteri UMNO mahu perlindungan ekonomi ibu tunggal muda diperluas dengan pendekatan yang bukan hanya bergantung kepada bantuan tunai.
Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi berkata, bantuan kepada golongan berkenaan perlu merangkumi aspek pekerjaan, penjagaan anak, bantuan guaman berkaitan nafkah dan perumahan supaya mereka dapat kembali berdikari.
“Puteri mahu menegaskan dalam isu perlindungan ekonomi ibu tunggal muda, bahawa bantuan bukan hanya diberi dalam bentuk tunai.
“Kita mahu digabungkan pekerjaan, penjagaan anak, bantuan guaman berkaitan nafkah dan perumahan supaya mereka boleh kembali berdikari,” katanya.
Menurutnya, isu berkenaan merupakan antara keresahan wanita muda yang perlu diberikan perhatian kerana mereka turut berdepan cabaran pekerjaan dan pendapatan, harga rumah, kerjaya serta tanggungjawab terhadap keluarga.
Katanya, pendekatan politik yang diperjuangkan Puteri UMNO perlu hadir dalam kehidupan sebenar manusia dan tidak hanya bermula dengan parti.
“Inilah politik yang perlu kita perjuangkan, politik yang hadir dalam kehidupan sebenar manusia. Politik yang bukan bermula dengan parti. Politik yang bermula dengan kehidupan manusia,” Nurul Amal berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, pagi tadi. – MalaysiaGazette
















