Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros
Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros

KUALA LUMPUR – UMNO digesa untuk tidak terikat dengan mana-mana parti politik di peringkat negeri mahupun Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), kata Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros.

UMNO katanya perlu mengakui masih terdapat ketidakpuasan hati dalam kalangan akar umbi Melayu terhadap susunan politik semasa selepas PRU15.

Menurutnya, Kerajaan Perpaduan yang menggabungkan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) selepas keputusan Parlimen tergantung hanyalah persinggahan sementara dan bukan destinasi akhir UMNO.

“Kerajaan Perpaduan yang kita sertai ini hanyalah persinggahan sementara. Ia bukan destinasi terakhir. Matlamat akhir kita adalah untuk kembali menjadi parti yang dominan dan terus mendominasi,” katanya ketika membahaskan Ucapan Dasar Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh, hari ini.

Dalam pada itu,  Azleen turut berkata, UMNO perlu memberi tumpuan kepada usaha menyatukan orang Melayu menjelang PRU16 ketika masyarakat serta parti-parti berteraskan Melayu semakin berpecah, selain tahap keyakinan terhadap kepimpinan berada pada paras rendah.

“Tiada parti politik yang benar-benar tampil ke hadapan untuk memimpin melalui teladan, malah tiada juga visi. Tiada parti yang mampu memberikan harapan kepada orang Melayu,” katanya.

Beliau berkata, sebagai parti berteraskan Melayu, UMNO bertanggungjawab membantu masyarakat itu merapatkan barisan dan memperkukuh perpaduan.

Katanya, kemenangan UMNO pada pilihan raya negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan baru-baru ini menunjukkan orang Melayu boleh kembali menyokong parti itu sekiranya UMNO melakukan perkara yang betul, kekal merendah diri dan meletakkan kepentingan masyarakat mengatasi segala-galanya.

Dalam pada itu, Azleen berkata UMNO perlu kekal sederhana ketika memperjuangkan kepentingan orang Melayu, Bumiputera dan Islam.

Menurutnya, parti itu juga mesti menghormati hak masyarakat lain bagi memastikan sokongan yang dibina dapat bertahan dan bukan sekadar bersifat sementara.

“Kita memperjuangkan orang Melayu tetapi bukan dengan mengorbankan kepentingan kaum lain,” katanya lagi.

Beliau turut menggesa agenda Melayu UMNO dikaji semula supaya parti itu dapat menawarkan dasar yang lebih konkrit bagi memperkukuh daya tahan ekonomi, pendidikan dan kepimpinan masyarakat berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here