Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden bercakap pada media selepas perasmian pembukaan Perhimpunan Agung Pemuda UMNO di Dewan Merdeka, WTCKL, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 10 SEPTEMBER 2026.

KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Pas dan Pergerakan Pemuda UMNO merancang untulk mengadakan satu himpunan yang melibatkan pelbagai aktiviti dalam usaha menyatukan ummah tidak lama lagi.

Ketua Dewan Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden  akan duduk berbincang dengan lebih teliti Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh bagi memastikan penyatuan ummah akan kekal sampai bila-bila.

“Salam yang dihulur sama-sama kita sahut untuk membina penyatuan dan saya rasa senang hati dalam ucapan dasar Ketua Pemuda UMNO telah menyebut dan menyahut seruan ke arah penyatuan dan sama-sama akan menggerakkan satu himpuan gerakan ummah.

“Insya-Allah kami akan duduk bersama bincang lebih teliti bagaimana kita hendak gerakkan aktiviti-aktiviti ke arah menjayakan penyatuan ummah.

“Bukan setakat kita akan berhimpun tetapi kita hendak buat pelbagai perkara yang akhir menyatukan ummah bukan setakat dalam pilihan raya tetapi sampai bila-bila,” katanya ketika ditemui selepas hadir ke Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini hari ini.

Sebahagian Pemimpin yang hadir pada perasmian pembukaan Perhimpunan Agung Pemuda UMNO di Dewan Merdeka, WTCKL, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 10 SEPTEMBER 2026.

Kehadiran delegasi berkenaan dilihat sebagai kunjungan balas selepas  Dr Muhamad Akmal mengetuai 25 delegasi parti itu menghadiri Muktamar Dewan Pemuda Pas Malaysia Kali Ke-67 di Kota Bharu, Kelantan pada 3 September lalu.

Kunjungan tersebut sekali gus memperlihatkan keterlibatan kepemimpinan sayap pemuda kedua-dua parti dalam program rasmi masing-masing.

Sebelum ini, kehadiran delegasi Pemuda UMNO pada Muktamar Dewan Pemuda Pas mencuri perhatian dan disifatkan sebagai simbolik hubungan antara kedua-dua parti Melayu berkenaan.

Mengulas lanjut, Afnan Hamimi turut merakam penghargaan kepada Akmal di mana dalam ucapan dasarnya kekal dengan ketegasan sayap itu yang tidak akan bersama Pakatan Harapan (PH).

Malah Ahli Parlimen Alor Setar itu juga terharu dengan pendirian Afnan untuk tidak dicalonkan dalam Pilihan Raya Negeri Melaka jika berlaku kerjasama antara Barisan Nasional dan PH. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here