Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar menunjukkan dadah rampasan pada sidang media mengenai kejayaan menumpaskan sindiket pengedaran pelbagai jenis dadah berjumlah RM31.53 juta di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Shah Alam, pada Khamis

SHAH ALAM – Polis Selangor berjaya menumpaskan enam sindiket pengedaran pelbagai jenis dadah menerusi tujuh siri serbuan di beberapa lokasi berasingan dengan keseluruhan rampasan bernilai RM31.53 juta antara 19 hingga 26 Ogos lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, seramai 14 suspek berusia antara 20 hingga 39 tahun ditahan di lokasi berasingan termasuk tiga di Terminal KLIA, dua kes di Sepang serta satu kes masing-masing di Segambut, Kuala Lumpur dan Kajang.

Menurut beliau, suspek terdiri dari lima warga tempatan iaitu tiga lelaki dan dua wanita manakala sembilan lagi merupakan warga asing membabitkan tujuh lelaki dan dua wanita.

“Dalam tujuh siri serbuan tersebut, pihak polis berjaya menumpaskan rangkaian sindiket pengedaran dadah yang dipercayai aktif dan terancang.

“Keseluruhan rampasan dadah dianggarkan bernilai RM31.53 juta,” katanya pada sidang media di IPK Selangor di sini hari ini.

Antara dadah yang dirampas ialah 135.4 kilogram (kg) ketulan mampat disyaki bunga ganja dibungkus dalam 214 bungkusan plastik.

Turut dirampas 117.54kg serbuk disyaki MDMA dalam 2,325 paket plastik, 4.94kg pil ekstasi dalam 14 paket serta 1.019kg pil Erimin 5 yang disimpan dalam 320 kepingan aluminium foil.

Shazeli berkata, pihaknya turut merampas 22 botol dan 118 kotak katrij mengandungi cecair disyaki MDMA seberat 17.6 gram serta satu bungkusan plastik mengandungi serbuk ketamin seberat 444 gram.

“Lima mesin yang dipercayai digunakan untuk membungkus dadah turut dirampas dalam operasi berkenaan,” katanya.

Shazeli berkata, jumlah keseluruhan dadah yang dirampas itu dianggarkan mampu menampung penggunaan sehingga 912,876 orang pada satu-satu masa berdasarkan anggaran penggunaan 0.3 gram bagi setiap individu.

Selain dadah, polis turut menyita lima kenderaan pelbagai jenis, wang tunai berjumlah RM3,879, empat utas rantai berwarna keemasan dan sebuah beg tangan jenama Hermes.

“Nilai keseluruhan harta yang disita adalah RM172,069,” katanya.

Sebahagian dadah rampasan dipamerkan pada sidang media mengenai kejayaan menumpaskan sindiket pengedaran pelbagai jenis dadah berjumlah RM31.53 juta di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Shah Alam, pada Khamis

Selain itu daripada 14 suspek yang ditahan, 11 dituduh mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala seorang disiasat mengikut LLPK 1985 dan dua lagi suspek dibebaskan.

“Semakan rekod lampau mendapati hanya seorang suspek lelaki tempatan mempunyai dua rekod kesalahan terdahulu,” katanya.

Semakan dokumen perjalanan mendapati lima suspek warga asing telah tamat tempoh Pas Lawatan Sosial atau tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan (overstay).

Menurut Shazeli, kejayaan operasi itu membuktikan kewujudan sindiket pengedaran dadah berskala besar yang aktif serta tersusun dan mampu memberi ancaman serius kepada keselamatan masyarakat.

“PDRM Selangor akan terus mempergiatkan tindakan penguatkuasaan tanpa kompromi terhadap kegiatan pengedaran dadah,” katanya.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran membawa bagasi atau barangan milik pihak lain tanpa mengetahui kandungannya.

Katanya, individu yang bersetuju membawa barangan milik orang lain berisiko menjadi ‘keldai dadah’ dan berdepan implikasi undang-undang yang serius.

“Jangan mudah terpedaya dengan janji upah lumayan kerana tindakan tersebut boleh mengundang implikasi undang-undang yang sangat serius,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here