Nga Kor Ming pada majlis Pra-Pelancaran HCM 2026 di Pasar Tani Presint 4, Putrajaya hari ini.

PUTRAJAYA – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyasarkan penyertaan serentak 200,000 peserta di seluruh negara sempena Hari Cuci Malaysia (HCM) 2026, termasuk penglibatan 10,000 sekolah bagi memperkukuh budaya kebersihan dalam kalangan generasi muda.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, kerjasama strategik dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) itu turut membolehkan penyertaan murid dalam HCM 2026 diiktiraf menerusi Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK).

Katanya, pendekatan itu penting bagi menggalakkan penglibatan aktif murid dalam menjaga kebersihan serta kelestarian alam sekitar.

“Kebersihan bukan sekadar tanggungjawab pihak berkuasa atau pekerja pembersihan. Kebersihan ialah tanggungjawab kita bersama dan cerminan budaya serta jati diri negara.

Nga Kor Ming

“HCM perlu menjadi titik tolak kepada perubahan sikap dan amalan yang berterusan, bukan sekadar program sehari,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Pra-Pelancaran HCM 2026 di Pasar Tani Presint 4, di sini hari ini.

Katanya, dalam masa yang sama, HCM 2026 turut menyasarkan dua rekod baharu Malaysia Book of Records (MBOR), masing-masing menerusi jumlah penyertaan serentak dan pengumpulan 28,000 kilogram barangan kitar semula.

HCM Peringkat Kebangsaan 2026 dijadualkan berlangsung pada 26 September ini di Pasar Taman Seri Gombak, Batu Caves dengan kerjasama Kerajaan Negeri Selangor, Majlis Perbandaran Selayang (MPS), KPM dan kesemua 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri itu.

Pelbagai aktiviti akan diadakan termasuk pembersihan kawasan awam, kitar semula, pameran serta program kesedaran bersama komuniti.

Sebagai rekod, penganjuran HCM tahun ini dilihat semakin signifikan susulan Malaysia merekodkan penjanaan sisa sebanyak 14.5 juta tan metrik pada 2024 dan dijangka meningkat kepada 17 juta tan metrik menjelang 2035 sekiranya amalan semasa berterusan.

Dalam masa sama, kerajaan membelanjakan kira-kira RM2 bilion setahun bagi pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam.

HCM 2026 turut mendapat sokongan 21 rakan strategik daripada pelbagai sektor termasuk syarikat korporat, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat multinasional (MNC), persatuan industri dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Sehubungan itu, Kor Ming menyeru rakyat menyertai HCM 2026 dengan melaksanakan aktiviti pembersihan di rumah, premis perniagaan, pejabat dan kawasan persekitaran masing-masing bagi menjadikan kebersihan sebagai sebahagian daripada amalan kehidupan seharian. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here