Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes saman 1MDB terhadapnya atas dakwaan penyelewengan dana syarikat, di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 05 OGOS 2026.

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh mengesahkan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan akan bersidang pada pukul 8.30 pagi esok.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai agenda yang akan dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan, termasuk ketika perhatian kini tertumpu kepada permohonan membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Media melaporkan Hannah berkata demikian selepas Pelancaran Fasa ke-8 Program Mamogram percuma Etiqa dengan kerjasama Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), di Jabatan Pertahanan Awam, hari ini.

Pengesahan Hannah itu sekali gus menguatkan laporan MalaysiaGazette pada 8 September lalu bahawa Lembaga Pengampunan dijangka bermesyuarat Jumaat ini.

Artikel berkaitan: Lembaga Pengampunan bincang tahanan rumah Najib Jumaat ini?

MalaysiaGazette sebelum ini difahamkan antara perkara yang dipercayai akan diberi perhatian ialah permohonan Najib untuk menjalani baki hukumannya di bawah tahanan rumah.

Perkembangan itu mencetuskan persoalan sama ada permohonan Najib kali ini akan mendapat ‘restu’ Lembaga Pengampunan.

Bagaimanapun, sehingga kini belum ada pengesahan rasmi bahawa permohonan tahanan rumah Najib berada dalam agenda mesyuarat esok.

Hannah yang merupakan anggota Lembaga Pengampunan hanya mengesahkan waktu mesyuarat berkenaan tanpa memperincikan perkara yang akan dibincangkan.

Isu tahanan rumah Najib sebelum ini melalui proses perundangan susulan dakwaan kewujudan Titah Adendum yang dikatakan membolehkan bekas Ahli Parlimen Pekan itu menjalani baki hukumannya di kediaman.

Mahkamah Tinggi pada 22 Disember lalu menolak permohonan semakan kehakiman Najib selepas mendapati isu tahanan rumah tidak pernah dibincangkan atau diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-61 pada 29 Januari 2024.

Najib kemudiannya menarik balik rayuan terhadap keputusan berkenaan melalui notis daripada firma guaman Tetuan Shafee & Co bertarikh 2 April lalu namun tiada alasan dinyatakan berhubung tindakan pemberhentian berkenaan.

Pada 14 April lalu, Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan, merekodkan bahawa Notis Penghentian yang difailkan peguam adalah teratur, dan seterusnya membatalkan notis rayuan Najib.

Jabatan Peguam Negara sebelum ini turut menjelaskan bahawa sekiranya terdapat cadangan supaya Najib menghabiskan baki hukumannya di bawah tahanan rumah, perkara itu perlu dikemukakan kepada Lembaga Pengampunan untuk pertimbangan mengikut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

Dengan pengesahan bahawa Lembaga Pengampunan akan bersidang esok pagi, tumpuan kini terarah kepada satu persoalan adakah isu tahanan rumah Najib benar-benar akan dibincangkan.

Najib yang juga bekas Ahli Parlimen Pekan kini menjalani hukuman di Penjara Kajang bersabit kesalahan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here