TEMERLOH – Seorang pelajar tingkatan 5, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seberang Temerloh meninggal dunia selepas motosikal ditunggangnya terbabit kemalangan dengan sebuah kereta di kilometer 116, Jalan Kuala Lumpur-Kuantan di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron berkata, kejadian berlaku sewaktu hujan lebat serta angin kencang ketika remaja terbabit dalam perjalanan pulang dari sekolah.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah kereta jenis Toyota Vios dipandu seorang warga emas hendak keluar membelok ke kanan dari simpang berhampiran sebuah masjid di lokasi terbabit.
“Bagaimanapun, motosikal dinaiki mangsa dari arah kanan yang sedang bergerak lurus tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian sisi kanan belakang kereta terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Akibat kemalangan tersebut, Mohd Nasyim berkata, mangsa, Alam Batrisya Adriana Batolji, 17, dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Warga emas lelaki berusia 65 tahun itu pula tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Pemandu kereta sudah tampil memberi keterangan dan membuat laporan di balai polis dan kes sedang disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – MalaysiaGazette
















