Poster Liga Bola Sepak Rakyat Pahang 1st Merebut Piala Al-Sultan Abdullah 2026.

KUALA LUMPUR – Liga Bola Sepak Rakyat Pahang 1st Merebut Piala Al-Sultan Abdullah 2026 bakal melabuhkan tirai Ahad ini dengan perlawanan akhir serta majlis penutupan di Stadium Darul Makmur, Kuantan, yang turut dimeriahkan persembahan artis dan cabutan bertuah dengan hadiah utama sebuah Proton Saga.

Aksi kemuncak pada 13 September itu akan menentukan juara sulung Piala Al-Sultan Abdullah selepas kejohanan yang bermula sejak Jun lalu menghimpunkan 105 pasukan dari seluruh daerah di Pahang.

Menurut kenyataan penganjur, program penutup berkenaan akan bermula seawal pukul 4 petang dengan pelbagai aktiviti disediakan sebelum perlawanan akhir berlangsung.

Selain aksi bola sepak, orang ramai turut dihiburkan dengan persembahan artis dan pemuzik tanah air termasuk Azlan & Typewriter, Tam Spider, Ara Johari, Baggio Damasutra, Kid yang juga gitaris kumpulan Search serta Arghpiez.

Penganjur turut menyediakan cabutan bertuah untuk pengunjung dengan hadiah utama sebuah Proton Saga, selain dua motosikal, tiga telefon bimbit dan 200 biji bola.

Kemasukan ke Stadium Darul Makmur adalah percuma dan peminat bola sepak khususnya dari Pahang dijemput hadir bagi menyaksikan perlawanan akhir serta memeriahkan acara penutupan kejohanan.

Penganjuran Liga Bola Sepak Rakyat Pahang 1st Merebut Piala Al-Sultan Abdullah bukan sekadar bertujuan mencungkil serta mengetengahkan bakat baharu bola sepak di peringkat akar umbi, malah menjadi platform menyatukan masyarakat menerusi sukan.

Kejohanan itu turut dilihat mampu merancakkan aktiviti masyarakat dan ekonomi setempat menerusi penyertaan pasukan serta kehadiran penyokong dari seluruh Pahang.

Liga berkenaan diperkenalkan sebagai platform pembangunan bola sepak akar umbi dengan memberi peluang kepada bakat tempatan untuk bersaing dalam kejohanan yang melibatkan penyertaan dari seluruh negeri.

Maklumat lanjut mengenai kejohanan boleh diperoleh menerusi saluran media sosial rasmi Liga Pahang First di Facebook, Instagram, TikTok dan Threads menerusi akaun @ligapahangfirst. – MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here