KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawab persoalan berkaitan integriti dan beberapa isu yang didakwa masih belum mendapat penjelasan tuntas.
Menurutnya, UMNO menghormati keputusan mahkamah dan proses perundangan, namun parti itu tidak akan meninggalkan pemimpinnya selagi belum dibuktikan bersalah.
“Kita hormat keputusan mahkamah. Tapi bila dia kata baru kena dakwa, dah kata UMNO sakau, sakau, sakau.
“Hari ini saya nak tanya kepada Anwar Ibrahim, apa cerita mafia korporat? Dulu Datuk Seri Anwar Ibrahim belum jadi kerajaan, Datuk Seri kata nak tangkap (Tan Sri) Azam (Baki).
“Datuk Seri dah jadi Perdana Menteri. Apa cerita ini?” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan Ketua Pemuda UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026, di sini hari ini.
Dr Muhamad Akmal berkata, Anwar juga perlu menjelaskan status beberapa isu dan siasatan yang didakwa sehingga kini masih belum mendapat tindakan lanjut.
Antaranya, kata beliau, termasuk isu yang didakwa berkaitan ‘mafia korporat’, kes lombong di Sabah serta kerugian pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP).
“Saya mahu tanya juga apa cerita kes lombong dekat Sabah? Kalau hendak kata kita sakau, bekas Setiausaha Politik Kanan (Anwar) dan Albert Tei.
“Dia (bekas Setiausaha Politik Kanan Anwar) pakai baju oren dia tak cakap… Albert Tei mengaku beri rasuah pada dia, ada video.
“Video dekat Sabah pun dia (Anwar) kata sampai sekarang tak tahu apa kisahnya. Apa dia? Editing (disunting)? Geli saya hendak tengok (video itu)… apa cerita, jawablah,” katanya.
Dalam pada itu, Dr Muhamad Akmal menegaskan Pemuda UMNO akan terus mempertahankan parti dan pemimpinnya selagi proses undang-undang belum membuktikan seseorang itu bersalah.
“Pemimpin kita belum dibuktikan bersalah. Jangan malu. Orang UMNO ini susah senang bersama. Bukan senang bersama, susah kita lagi tinggalkan kawan kita,” katanya. – MalaysiaGazette
















