MIRI – Masyarakat diminta menghormati privasi dan memberikan ruang kepada keluarga lima mangsa nahas helikopter di Long Lellang yang sedang melalui tempoh sukar, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Hanifah Hajar Taib.
Beliau berkata penyebaran andaian atau maklumat yang belum disahkan boleh menambah keresahan dan tekanan emosi kepada keluarga mangsa.
“Saya mohon, jangan buat spekulasi kerana perkara itu boleh merunsingkan keluarga. Kita belum mengetahui apa sebenarnya yang berlaku dan tidak wajar membuat sebarang andaian.
“Beri mereka ruang dan sokongan positif kerana kehilangan ini amat mengejutkan dan mereka sedang melalui saat sangat sukar,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.
Hanifah berkata beliau bersama-sama Ketua Polis Daerah Miri ACP Mohd Farhan Lee Abdullah telah bertemu dengan keluarga mangsa pada petang semalam bagi menyampaikan perkembangan berkaitan susulan tragedi berkenaan.
Keluarga mangsa, katanya, turut diberi penerangan bahawa proses forensik dan analisis sampel asid deoksiribonukleik (DNA) perlu dilaksanakan dengan teliti sebelum jenazah dapat diserahkan kepada waris.
Beliau berkata semua pihak perlu memberikan ruang kepada pihak berkuasa dan agensi berkaitan menjalankan tugas masing-masing, dan sebarang perkembangan hendaklah dirujuk kepada sumber rasmi bagi mengelakkan kekeliruan.
Hanifah berkata perhatian turut diberikan kepada kesejahteraan emosi dan kesihatan mental keluarga mangsa kerana setiap individu mempunyai cara tersendiri dalam menghadapi kehilangan orang tersayang.
Pada Selasa, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) memaklumkan sebuah helikopter BO-105 yang membawa lima individu termasuk juruterbang, terhempas berdekatan Long Lellang Short Take-Off and Landing Airport (STOLport).
Mangsa yang terkorban ialah juruterbang Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30, pegawai perubatan Dr Ainul Baraah Kamaruddin, 33, pembantu perubatan Alexson Adit Henry, 31, serta dua jururawat, Debra Moset, 40, dan Jessie Paya Jok, 44. – BERNAMA
















