Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan.

KUALA LUMPUR – Hidup bersama secara aman dan masyarakat yang harmoni amat penting demi menjamin masa depan Malaysia khususnya ketika negara terus mengharungi landskap kepelbagaian agama serta sosial, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan.

Beliau berkata rakyat Malaysia perlu mengetepikan perbezaan dan memperkukuh perpaduan bagi memastikan kemajuan negara berterusan serta masa depan yang lebih baik untuk generasi akan datang.

“Jika kita ingin terbang tinggi dan menjamin masa depan Malaysia, kita mesti bersatu padu. Apa yang perlu kita lakukan ialah mengamalkan hidup bersama secara aman serta mewujudkan masyarakat yang damai dan harmoni,” katanya semasa sesi dialog bersama dengan Kelab Concorde di Wisma Bernama hari ini.

Sesi itu, yang dikendali oleh Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai, membincangkan topik “Identiti Islam Malaysia: Mengimbangi Kepelbagaian Kepercayaan dan Perpaduan”.

Zulkifli memuji perbincangan itu kerana ia memberi peluang untuk meneliti identiti Islam Malaysia dalam pelbagai perspektif, iaitu politik, sosioekonomi dan agama berbanding sekadar melihat isu berkenaan daripada satu dimensi sahaja.

Beliau berkata Kementerian Hal Ehwal Agama turut mempromosikan pendekatan “Islam Rahmatan Lil Alamin” yang menampilkan Islam sebagai agama yang membawa rahmat serta menekankan keterangkuman, rasa hormat terhadap orang lain dan keharmonian sosial.

Zulkifli berkata pendekatan itu bersifat inklusif, sejagat, menghormati orang lain dan dinamik, sambil menambah bahawa pemahaman lebih mendalam penting dalam usaha memperkukuh hubungan sesama rakyat Malaysia yang berbilang latar belakang.

Beliau turut menggesa agar isu sensitif berkaitan agama ditangani secara bertanggungjawab bagi mengelakkan ia menjadi punca perpecahan termasuk dakwaan bahawa seseorang boleh dijamin masuk syurga kerana menyokong entiti atau organisasi tertentu.

“Dari perspektif Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), kami berhasrat memberi kefahaman dan pencerahan kepada masyarakat, khususnya umat Islam di Malaysia serta rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

“Kami mahu memastikan bahawa orang ramai memahami bahawa syurga bukan milik sesiapa. Ia ditentukan semata-mata oleh Tuhan, iaitu Allah SWT,” katanya.

Zulkifli berkata pihaknya akan meneruskan inisiatif seperti Kita Kawan, Sebarkan Salam, MADANI Membantu dan Jom Solat bagi memupuk persefahaman yang lebih mendalam, sikap saling menghormati serta keharmonian sosial.

Beliau juga berkata usaha memperkukuh identiti Islam Malaysia perlu seiring dengan penghormatan terhadap kepelbagaian dan perpaduan negara, dengan perbezaan diuruskan menerusi dialog, kefahaman serta sikap saling menghormati. – BERNAMA

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here