Mohd Razlan bersama keluarganya pada PAU 2026.

KUALA LUMPUR – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 menjadi detik peribadi yang cukup bermakna buat Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii apabila melihat tiga anaknya kini mengikut jejak langkah menjadi perwakilan pada persidangan kali ini.

Beliau berkata, kehadiran ketiga-tiga anaknya mewakili Bahagian dan kelab luar negara menyentuh hatinya sebagai seorang ayah selepas bertahun-tahun mereka menyaksikan perjalanan politiknya.

“Hari ini merupakan antara detik paling indah dan membanggakan buat saya sebagai seorang ayah.

“Melihat ketiga-tiga anak saya berada di Perhimpunan Agung UMNO 2026 sebagai perwakilan Pergerakan Pemuda dan Kelab UMNO Luar Negara (KULN), ianya benar-benar menyentuh hati,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Tiga anaknya yang hadir ialah Along yang mewakili Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kepong; Kak Ngah mewakili KULN Kaherah, Mesir dan Adam yang mewakili KULN dari United Kingdom.

Mohd Razlan dan isteri tidak pernah mengharapkan anak-anaknya mewarisi kedudukan atau nama sebaliknya mahu mereka memegang prinsip dan nilai perjuangan untuk berbakti kepada negara.

“Bertahun lamanya mereka menjadi saksi melihat dan mendengar perjalanan perjuangan ini daripada saya.

“Hari ini, mereka sendiri mula melangkah, mengenali erti perjuangan serta memikul tanggungjawab sebagai generasi pewaris.

“Kami mahu mereka mewarisi semangat, prinsip, keberanian dan keikhlasan untuk terus berbakti kepada agama, bangsa dan tanah air.

“Ayah hanya membuka jalan, tetapi masa depan perjuangan ini berada di tangan kalian bertiga,” katanya.

Beliau turut berharap langkah pertama anak-anaknya pada persidangan itu akan menjadi permulaan kepada usaha yang lebih besar dalam membantu parti.

“Teruslah melangkah dengan ilmu, adab dan keberanian.

“Jadilah pewaris perjuangan yang bukan sekadar menyambung legasi tetapi mampu membantu memperkasakan parti di pelbagai peringkat masyarakat,” katanya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here