BUKIT MERTAJAM – Seorang pekerja maut selepas terjatuh bersama struktur perancah dari tingkat lapan sebuah bangunan di sebuah tapak pembinaan di sini pada 8 Selasa lalu.
Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang dalam kenyataan berkata, pihaknya menjalankan siasatan awal berhubung kejadian berkenaan selepas menerima makluman kemalangan maut itu.
Menurut kenyataan itu, kejadian berlaku kira-kira 6.15 petang ketika mangsa dipercayai sedang menjalankan kerja-kerja merombak perancah di tingkat lapan bangunan.
“Runtuhan struktur sementara (catch platform) yang menampung struktur perancah menyebabkan mangsa bersama struktur perancah terjatuh ke aras bawah.
“Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya hari ini.
Tambah kenyataan itu, JKKP Pulau Pinang telah mengeluarkan arahan menghentikan aktiviti kerja berkaitan serta larangan kacau ganggu di kawasan kejadian bagi memastikan tempat kejadian dikekalkan dan tidak diubah atau diganggu sehingga siasatan lanjut selesai.
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 17, Seksyen 18A dan Seksyen 18B Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514), serta peraturan-peraturan keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang berkaitan.
“JKKP memandang serius kejadian kemalangan maut, khususnya yang melibatkan aktiviti kerja di tempat tinggi dan perancah.
“Majikan diingatkan untuk memastikan kerja-kerja tersebut dirancang dan dilaksanakan dengan selamat melalui pentaksiran serta kawalan risiko yang berkesan termasuk penyediaan laluan naik dan turun yang selamat serta sistem perlindungan daripada jatuh,” katanya. – MalaysiaGazette
















