Azalina Othman Said.

KUALA LUMPUR – UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak boleh lagi bersandar kepada sejarah silam, sebaliknya perlu tampil dengan tawaran masa hadapan yang lebih jelas bagi membina semula keyakinan rakyat terhadap parti.

Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, walaupun parti itu mempunyai rekod sejarah yang panjang dalam pembangunan negara, faktor berkenaan tidak lagi memadai untuk menjamin kepercayaan rakyat pada masa kini.

Sehubungan itu, Penerangan UMNO Malaysia menyokong penuh pelancaran Agenda Malaysia Biru yang digariskan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai kerangka asas parti dan BN menuju 100 tahun kemerdekaan negara.

“Kepercayaan rakyat perlu diperoleh menerusi tawaran masa hadapan yang lebih jelas merangkumi dasar yang baik, penyelesaian isu secara realistik serta kepimpinan yang berkeupayaan mendepani cabaran generasi baharu.

“Agenda Malaysia Biru membawa pendekatan baharu yang melangkaui konteks politik pilihan raya semata-mata.

“Persoalannya bukan sekadar bagaimana kita mahu menang, tetapi apakah Malaysia yang mahu kita bina sekiranya rakyat sekali lagi memberikan kepercayaan kepada UMNO dan BN untuk memimpin negara,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Azalina, matlamat agenda berkenaan adalah jelas iaitu mahu membentuk sebuah Malaysia yang Berdaulat dan Bersatu, Inovatif dan Berpendapatan Tinggi, Rakyat Makmur dan Saksama serta Unggul dan Disegani Dunia.

“Menjelang satu abad kemerdekaan negara, parti perlu mempunyai kejelasan tentang bentuk negara yang mahu diwariskan kepada generasi seterusnya.

“Mandat bukan ganjaran kepada sebuah parti dan kuasa bukan matlamat perjuangan, sebaliknya ia adalah amanah untuk membina masa depan Malaysia,” katanya.

Semalam, Ahmad Zahid menerusi ucapan dasarnya menegaskan Agenda Malaysia Biru menjadi kerangka lengkap untuk UMNO dan BN menawarkan hala tuju pentadbiran serta pembangunan negara menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) jika kembali menerajui Putrajaya bersama rakan politik lain.

Ahmad Zahid turut menjelaskan, Agenda Biru bukan sekadar simbolik gelombang biru, sebaliknya membawa maksud khusus iaitu berdaulat, bersatu, inovatif, mewujudkan negara berpendapatan tinggi, rakyat makmur serta saksama demi meletakkan keunggulan Malaysia di persada dunia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here