KUALA LUMPUR – UMNO perlu menghentikan budaya sabotaj dalaman, termasuk ketika pilihan raya, jika parti itu mahu kembali mendapat keyakinan rakyat, kata Ketua UMNO Bahagian Kota Belud, Azuwan Marjan @ Norjan.
Ketika membahaskan ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Perhimpunan Agung UMNO 2026, Azuwan turut menggesa seluruh kepimpinan parti menghentikan budaya berpuak-puak.
“Hentikan sabotaj di dalam parti terutama pada pilihan raya,” katanya pada PAU2026 di sini, hari ini.
Dalam masa sama, beliau memuji UMNO Kinabatangan kerana memilih untuk akur dan terus berjuang bagi memastikan kemenangan calon parti.
Menurutnya, kekuatan UMNO tidak hanya bergantung kepada keputusan di peringkat pusat, sebaliknya memerlukan struktur parti yang berfungsi dengan baik dari peringkat nasional, negeri hingga bahagian.
“Bagi Presiden buat kerja Presiden. Begitu juga Timbalan Presiden, Naib-Naib Presiden dan juga Majlis Kerja Tertinggi (MKT).
“Di peringkat negeri, berikan kepercayaan kepada Pengerusi Badan Perhubungan dan pimpinan kanan yang ada.
“Di peringkat bahagian, berikan Ketua Bahagian mengendalikan bahagian secara tertib dan berdasarkan punca kuasa yang ada,” katanya.
Azuwan berkata, jika struktur parti dapat berjalan dengan baik, beliau yakin sebarang rintangan dan halangan mampu diatasi.
Beliau turut mengingatkan bahawa serangan daripada dalam parti lebih menyakitkan berbanding musuh dari luar.
“Paling sakit adalah serangan dari dalaman dan bukan musuh dari luar,” katanya.
Dalam pada itu, Azuwan menggesa perbezaan pandangan dalam kalangan pemimpin tidak sampai menyebabkan rakan sendiri menjadi sasaran dalam kerajaan.
Katanya, mereka yang berada dalam satu saf kepimpinan perlu kembali mencari ruang perbincangan dan tidak menggunakan persepsi untuk menjatuhkan rakan yang bersama-sama membentuk kerajaan.
“Kenapa tidakkah lagi boleh berbincang? Perlukah membuat persepsi menjatuhkan rakan bersama membentuk kerajaan dan mengangkat mereka menjadi pemimpin kerajaan?” soalnya.
Beliau berkata, autonomi dan pembahagian kuasa dalam parti perlu dihormati supaya setiap peringkat kepimpinan dapat menjalankan tanggungjawab masing-masing tanpa gangguan yang tidak perlu.
“Saya memetik ungkapan Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin sebagai penegasan bahawa kepentingan parti dan perjuangan rakyat perlu diutamakan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















