Aireen Omar. (tengah) bersama barisan Lembaga Pengarah AI Malaysia Berhad selepas mesyuarat lembaga pengarah pertama di Kementerian Digital, Putrajaya, semalam.

KUALA LUMPUR – AI Malaysia Berhad memulakan fasa baharu pelaksanaan agenda kecerdasan buatan (AI) negara menerusi mesyuarat sulung Lembaga Pengarahnya, semalam.

Kementerian Digital dalam satu kenyataan berkata, mesyuarat tersebut menetapkan hala tuju utama organisasi berteraskan tadbir urus kukuh, pelaksanaan berdisiplin serta impak nasional yang boleh diukur.

Sebagai langkah awal membina asas operasi, lembaga pengarah telah meluluskan Piagam Lembaga Pengarah dan Had Kuasa sementara bagi membolehkan proses membuat keputusan dan kawalan organisasi berjalan lancar dengan penuh akauntabiliti.

Pengerusi AI Malaysia, Aireen Omar berkata, fokus utama pihaknya adalah untuk memastikan setiap aspirasi disusuli dengan tindakan nyata yang memberi manfaat kepada ekonomi dan masyarakat.

Jelasnya, fokus AI Malaysia sangat jelas iaitu bergerak pantas, melaksanakan dengan penuh disiplin dan menghasilkan impak ekonomi serta sosial yang nyata.

Lembaga Pengarah berperanan memperkasa AI Malaysia dalam membina keupayaan, mempercepat penerimagunaan AI merentas ekonomi dan memastikan Malaysia meraih nilai lebih besar daripada transformasi AI global.

Kenyataan itu turut menyebut mengenai hala tuju organisasi berkenaan yang berteraskan Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2026–2030 dan aspirasi Negara AI 2030.

“Menerusi 28 inisiatif nasional, pelan itu bertujuan membawa Malaysia melangkaui peranan sebagai pengguna kepada negara pencipta penyelesaian, pembangun keupayaan serta pemilih harta intelek AI sendiri.

“Bagi memastikan keselamatan penggunaan teknologi tersebut, AI Malaysia turut menggabungkan fungsi pelaksanaan, penyelarasan serta tadbir urus AI di peringkat nasional,” menurut kenyataan itu lagi.

Antara keutamaan semasa yang sedang digiatkan termasuklah penggubalan Rang Undang-Undang Tadbir Urus AI, penubuhan Institut Keselamatan AI Malaysia serta penyelarasan Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2026–2030.

Usaha ini meneruskan asas yang dirintis oleh Pejabat AI Kebangsaan (NAIO) sebelum ini seperti Kod Etika AI secara sukarela, Boardroom Primer, Kajian Impak AI Sektor Awam dan Buku Panduan Kesiapsiagaan Set Data AI. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here