Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO, Hafiz Ariffin bercakap ketika ditemubual pada Perhimpunan Agung UMNO 2026 di WTC, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 12 SEPTEMBER 2026.

 

KUALA LUMPUR – UMNO menegaskan sebarang kesalahan yang dikenal pasti menerusi Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji perlu diambil tindakan mengikut proses undang-undang, selain menyeru pertikaian antara kementerian tidak diseret ke ruang awam.

Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO, Hafiz Ariffin berkata, UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak akan berkompromi sekiranya terdapat pihak yang benar-benar didapati melakukan kesalahan berkaitan pengurusan Tabung Haji.

Menurut beliau, sebarang salah tadbir atau keraguan berkaitan kewangan perlu disiasat dan jika terdapat pihak yang bersalah, pendakwaan hendaklah dibuat melalui proses perundangan.

“Kalau ada salah tadbir dari segi pengurusan korporat, laksanakan tindakan kepada orang yang bertanggungjawab.

“Kalau ada kesalahan ataupun kecurigaan tentang perbelanjaan dan penglibatan kewangan, buat siasatan dengan betul melalui proses perundangan dan kalau ada pihak bersalah, dakwalah,” katanya ketika ditemui pada Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Bagaimanapun, Hafiz mempersoalkan masa laporan RCI berkenaan didedahkan, khususnya apabila ia muncul beberapa hari sebelum pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Katanya, RCI tidak sepatutnya digunakan untuk melabel pihak tertentu atau menakutkan pengundi sehingga menjejaskan jentera parti.

“Kalau hanya dibangkitkan untuk melabelkan politik, untuk menakut-nakutkan pengundi, meruntuhkan jentera, saya rasa ini tindakan yang tak betul dan tidak bertanggungjawab,” katanya.

Dalam pada itu, Hafiz berkata, isu berkaitan amalan perbelanjaan kementerian pula sepatutnya diselesaikan secara dalaman dan tidak melibatkan penjawat awam dalam pertelingkahan terbuka.

Menurutnya, kenyataan yang dibuat dalam pertemuan dalaman antara menteri dan warga kementerian adalah perkara biasa kerana selain pencapaian, cabaran dalaman juga perlu dibincangkan.

Katanya, perbezaan pandangan antara kementerian sewajarnya diselesaikan melalui saluran dalaman, termasuk perbincangan antara menteri dan pegawai kanan kerajaan, bukannya melalui kenyataan terbuka.

“Bila berlaku pertembungan sebegini, mengheret penjawat awam ke dalam pertembungan politik, saya rasa ini tak sihat. Ini tak sihat,” katanya.

Hafiz berkata, perkara itu lebih wajar diberi perhatian memandangkan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) diketuai Timbalan Perdana Menteri, manakala Kementerian Kewangan (MOF) diketuai Perdana Menteri.

Katanya, cara perbezaan pandangan itu diuruskan turut mencerminkan keupayaan kepimpinan kerajaan dalam menangani perbezaan serta kekurangan yang berlaku. – MalaysiaGazette



IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here