Bekas Menteri Besar Terengganu merangkap Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman bercakap kepada media pada Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MOHD ADZLAN, 12 SEPTEMBER 2026.

KUALA LUMPUR – Sebarang rundingan politik antara UMNO dan Pas perlu menghasilkan situasi menang-menang dan tidak boleh menyebabkan UMNO Terengganu menjadi pihak yang berkorban demi kepentingan negeri lain.

Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, UMNO Terengganu tidak mempunyai masalah sekiranya presiden parti menggunakan pendekatan rundingan dan persefahaman politik dengan Pas.

Namun, kata bekas Menteri Besar Terengganu itu, prinsip utama yang perlu dijaga ialah kepentingan kedua-dua parti dan bukannya memberikan kelebihan kepada satu pihak sahaja.

“Kita tak ada masalah sekiranya presiden nak buat perundingan, nak buat menggunakan konsep tawar-menawar atau persefahaman politik.

“Tetapi saya tegaskan, biar ‘win-win’ situasi. Jangan nanti persefahaman itu menyebelahi satu pihak sahaja,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette pada Perhimpunan Agung UMNO 2026 (PAU2026) di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kemungkinan kerjasama politik UMNO dan PAS menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.

Ahmad Razif berkata, kenyataan sesetengah pihak kononnya Pas mahu mengekalkan kerusi dimenangi mereka sebelum ini boleh menyebabkan UMNO Terengganu berdepan kerugian besar sekiranya ia dijadikan asas rundingan.

Katanya, pendekatan lebih besar perlu digunakan dengan mencontohi konsep Ansar ketika Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah.

“Saya cadangkan kita contohi Rasulullah SAW sewaktu hijrah ke Madinah, iaitu konsep Ansar. Kalau boleh diaplikasikan konsep Ansar dalam keadaan yang ‘win-win’,” katanya.

Beliau berkata, UMNO Terengganu tidak mahu keputusan mengenai negeri lain menyebabkan kepentingan parti di Terengganu terpaksa dikorbankan.

“Kalau UMNO di Terengganu tak ada masalah, kita bersedia. Tetapi kita beri syarat, jangan sampai merugikan UMNO Terengganu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here