KUALA LUMPUR – Gagasan ‘Malaysia Biru’ yang dibawa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan diterjemahkan dalam manifesto Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi pilihan raya akan datang.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, perkara itu sudah pasti menjadi sebahagian daripada perancangan BN, dengan perbincangan mengenai kandungannya sedang dilaksanakan bersama pelbagai kumpulan.
Menurut beliau, gagasan berkenaan penting dalam merangka jawapan terhadap cabaran yang bakal dihadapi negara, termasuk dari aspek geopolitik yang mana keadaan dunia yang semakin tidak stabil.
“Ya, itu sudah pasti yang akan diterjemahkan dalam manifesto Barisan Nasional kita. Kita sedang mengusahakannya sekarang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemu bual ketika melakukan lawatan ke Laman Media sempena Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC), di sini.
Zambry berkata, UMNO dan BN perlu menggunakan pengalaman mentadbir negara dalam merangka dasar serta perancangan bagi memastikan Malaysia terus berada dalam keadaan aman dan stabil.
Katanya, cabaran politik tidak seharusnya menyebabkan parti terjerumus dalam pertikaian semata-mata, sebaliknya perlu memberi tumpuan kepada penyelesaian terhadap cabaran negara.
“Yang paling mustahaknya juga adalah bagaimana kita nak merangka jawapan-jawapan yang tuntas bagi kita menghadapi cabaran yang akan datang,” katanya.
Dalam pada itu, Zambry berkata, beliau sedang mengadakan perbincangan dengan pelbagai kumpulan bagi mendapatkan pandangan mengenai cadangan akta baharu yang bakal menggantikan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).
Menurutnya, perbincangan itu membabitkan golongan akademik, pentadbir, selain kumpulan mahasiswa.
Katanya, pandangan daripada kumpulan yang bersetuju mahupun tidak bersetuju perlu diambil kira bagi memastikan akta baharu itu bersifat komprehensif dan relevan untuk masa depan.
“Saya nak supaya satu akta yang komprehensif, yang mengambil kira semua pandangan kerana kita ingin mewujudkan sebuah akta yang baru bukan untuk masa kini, tapi untuk masa hadapan negara kita,” katanya.
Zambry berkata, AUKU yang telah diwujudkan sejak 54 tahun lalu perlu dinilai semula mengambil kira perubahan semasa serta keperluan pengurusan institusi pengajian tinggi pada masa hadapan. – MalaysiaGazette
















