KUALA NERUS – Usaha menyediakan lebih banyak platform perlumbaan kepada pelumba pacuan empat roda (4×4) di Pantai Timur terus diberi perhatian Kelab Sukan Pacuan Empat Roda Ummah (UT 4×4) menerusi penganjuran Terengganu 4X4 Merdeka Challenge 2026.
Presidennya, Muhammad Muzzammil Mokhetar berkata, sokongan menerusi Geran Padanan Sukan (GPS) Kementerian Belia dan Sukan (KBS) penting bagi memastikan penganjuran acara berkenaan dapat diteruskan meskipun kos pengendalian perlumbaan meningkat setiap tahun.
Menurutnya, peningkatan kos bukan sahaja dipengaruhi keadaan ekonomi semasa, malah melibatkan pelbagai keperluan operasi termasuk pengurusan sumber manusia, sistem teknologi pemarkahan dan keputusan, logistik serta risiko kewangan yang perlu ditanggung penganjur.
“Kos penganjuran saban tahun kian meningkat sama ada terkesan oleh faktor ekonomi semasa mahupun keperluan berkaitan penganjuran yang sememangnya tidak dapat dielakkan seperti pengurusan sumber manusia, sistem teknologi pemarkahan dan keputusan, logistik dan lain-lain yang hadir dengan harganya tersendiri.
“Begitu juga dengan sebarang risiko melibatkan wang ringgit yang ditanggung oleh kami selepas tamat perlumbaan,” katanya.

Muhammad Muzzammil berkata, tanggapan penganjuran sukan permotoran di peringkat komuniti mampu memberikan keuntungan besar hanya kerana mendapat sokongan dana atau penajaan kerajaan tidak menggambarkan realiti sebenar yang dihadapi penganjur.
“Ramai beranggapan menjadi penganjur sukan permotoran di peringkat komuniti ini seolah-olah kami menjana keuntungan semata-mata, apatah lagi menerima sokongan dana atau penajaan daripada kerajaan. Realitinya sebaliknya.
“Kami memikul tanggungjawab selaku penganjur kerana ketandusan perlumbaan di negeri Pantai Timur, yang mana ramai dalam kalangan pelumba tidak berkemampuan untuk menyertai perlumbaan di negeri lain,” katanya.
Menurutnya, dana diterima melalui GPS hanya menampung kira-kira separuh daripada keseluruhan kos penganjuran, manakala baki perbelanjaan perlu ditampung menerusi sumbangan kewangan atau sokongan perkhidmatan daripada agensi kerajaan tempatan, penaja kecil serta individu yang mempunyai minat terhadap sukan permotoran.
Sokongan pelbagai pihak itu turut membolehkan UT 4×4 menyediakan beberapa aktiviti sampingan sepanjang penganjuran, termasuk pertandingan mewarna, ruang pameran serta penyampaian maklumat oleh agensi berkaitan kepada masyarakat setempat.
Dalam pada itu, Muhammad Muzzammil berkata, pihaknya memastikan setiap penganjuran disokong dokumentasi lengkap termasuk laporan perbelanjaan bagi memastikan penggunaan dana dapat dipantau secara telus.
Katanya, pendekatan berkenaan turut membantu UT 4×4 mengekalkan kepercayaan KBS untuk menerima sokongan GPS bagi tempoh tiga tahun berturut-turut.
Terengganu 4X4 Merdeka Challenge 2026 berlangsung selama dua hari bermula 5 September lalu dengan penyertaan 56 pelumba dari seluruh negara.
Perlumbaan itu membabitkan tiga kategori iaitu Super Novice Litecore, Short Wheel Base (SWS) dan Long Wheel Base (LWS).
Acara tahunan itu dianjurkan UT 4×4 dengan kerjasama Kelab Terjoh! 4×4 Kuala Terengganu selaku rakan teknikal, selain mendapat sokongan KBS, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu, Tourism Malaysia, Persatuan Pacuan Empat Roda Malaysia (MFWDA) dan Kerajaan Negeri Terengganu. – MalaysiaGazette
















