KUALA LUMPUR – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menyerahkan kepada perseorangan profesional negara Lee Zii Jia untuk menentukan sama ada mahu kembali menjalani latihan bersama pemain kebangsaan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara.
Presiden BAM, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, setakat ini, pihaknya belum menerima sebarang maklum balas daripada kem Zii Jia susulan cadangan legenda badminton negara Datuk Seri Lee Chong Wei supaya pemain perseorangan profesional itu memanfaatkan kemudahan latihan di ABM.
“Tak ada, saya pun bincang dengan Chong Wei, dia sekarang di Amerika Syarikat, dia tak hadir pada hari ini. Tapi kita serahkanlah kepada Lee Zii Jia, akhirnya keputusan di tangan dia.
“Tetapi bagi kita, tumpuan sekarang adalah kepada pemain perseorangan yang kita ada serta pemain junior dalam program pembangunan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis BAM di sini hari ini.
Ditanya sama ada BAM akan mengambil inisiatif bertemu Zii Jia bagi membincangkan perkara itu, Tengku Zafrul berkata tiada perancangan sedemikian buat masa ini.
“Kita tak ada rancangan nak jumpa dengan Lee Zii Jia,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata keputusan Majlis BAM sebelum ini sememangnya membuka pintu kepada semua pemain profesional untuk menjalani latihan bersama di ABM demi kepentingan negara tanpa perlu kembali menyertai badan induk itu.
“Latihan bersama memang kita dah buat keputusan di majlis, bukan saja untuk Lee Zii Jia tetapi semua pemain bebas memang terbuka. Mereka dialu-alukan dan boleh sertai bila-bila masa.
“Sebenarnya ketika Piala Thomas hari itu, dia memberikan kerjasama. Dia datang menjalani latihan dua kali seminggu,” katanya sambil menambah BAM tidak boleh memaksa mana-mana pemain profesional berbuat demikian kerana menghormati status mereka sebagai pemain bebas.
Baru-baru ini, Zii Jia yang kini menghuni ranking ke-58 dunia berdepan satu lagi keputusan mengecewakan apabila tewas kepada pemain Taiwan Wu Zhe Ying pada pusingan pertama Terbuka Vietnam 2026.
Susulan itu, Chong Wei dilaporkan berkata program latihan lebih tersusun, rakan sepelatih yang lebih kompetitif serta sistem sokongan mantap di ABM mampu membantu Zii Jia kembali meningkatkan prestasinya. – BERNAMA
















